Atlet rejam lembing negara terima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM

Syed Abrar bersama kedua-dua ibu bapanya selepas merangkul Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19. - Foto Facebook UTeM
Syed Abrar bersama kedua-dua ibu bapanya selepas merangkul Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19. - Foto Facebook UTeM
A
A
A

ATLET rejam lembing negara, Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi tidak menjadikan kesibukannya di padang sebagai halangan untuk muncul cemerlang dalam akademik sekali gus merangkul Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19 di sini semalam.

Syed Abrar, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.73 berkata, kejayaan itu hasil disiplin tinggi dan pengurusan masa yang betul agar tidak tercicir daripada kedua-dua tanggungjawab sebagai pelajar dan atlet.

"Saya perlu bahagikan masa dengan baik antara pelajaran dan latihan sukan kerana setiap hari saya terpaksa luangkan sekurang-kurangnya dua jam pada sebelah petang untuk berlatih di padang.

Syed Abrar bersalaman dengan ibunya pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19. - Foto Facebook UTeM
Syed Abrar bersalaman dengan ibunya pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19. - Foto Facebook UTeM

"Pada masa sama, saya beri fokus sepenuhnya pada sesi pembelajaran selain memastikan tidak tercicir dalam pelajaran kerana ada kalanya perlu bertanding dalam pelbagai temasya sukan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UTeM di sini hari ini.

Anak kelahiran Perlis itu juga berkata, beliau berhasrat menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana di UTeM dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Berdasarkan rekod pencapaiannya, Syed Abrar berjaya mengumpul 13 pingat emas dan dua pingat perak daripada 16 kejohanan sukan yang disertainya dengan kejohanan terbaharu adalah temasya Sukan SEA Kemboja pada Mei lepas.

Artikel Berkaitan:

Syed Abrar bersalaman dengan bapanya pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19. - Foto Facebook UTeM
Syed Abrar bersalaman dengan bapanya pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19. - Foto Facebook UTeM

Kejohanan lain yang beliau sertai termasuk Sukan Universiti ASEAN, Sukan Malaysia (Sukma), Kejohanan Olahraga Kebangsaan MAF, Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi dan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).

Pada Konvokesyen UTeM ke-19 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, Syed Abrar merupakan antara 3,378 graduan yang masing-masing menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD). - Bernama