Cuepacs minta kerajaan beri peluang kedua kepada bekas jurulatih PLKN

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan memberikan keutamaan dan peluang kedua kepada bekas jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk diserap masuk semula dalam pasukan kejurulatihan.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pengalaman dan kemahiran bekas jurulatih yang pernah terlibat dalam PLKN sejak 2004 mampu membantu program berkenaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, kerajaan dapat menjimatkan kos untuk memberikan latihan semula kepada jurulatih kerana pengalaman sebelumnya boleh dimanfaatkan dengan acuan modul terkini.

“Bekas-bekas jurulatih ini juga masih mempunyai semangat untuk terus membimbing dan terbukti tidak mempunyai masalah untuk bertugas tanpa mengira waktu atau masa.

“Tambahan pula, ramai tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang masih menganggur selepas ia dibubarkan sepenuhnya pada 2018,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Adnan menjelaskan, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula PLKN 3.0 dan yakin bahawa pendekatan lebih berfokus mampu membentuk belia muda mempunyai jati diri yang unggul.

Tambah beliau, ia selari dengan penekanan tata kelola dan urus tadbir baik seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya lagi, pengambilan semula bekas jurulatih program tersebut dapat membantu meringankan masalah kewangan kerana terdapat segelintir daripadanya tidak mampu untuk menjelaskan pinjaman yang dibuat semasa bertugas dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Justeru itu, Cuepacs berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan lebih mendalam mengenai cadangan yang dikemukakan.

“Ia bagi memastikan PLKN 3.0 ini dilaksanakan dengan jaya selain membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi bekas jurulatih,” ulas Adnan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!