Alumni GPMS sokong wujud semula PLKN 3.0 dengan kaedah baharu

A
A
A

Pelaksanaan PLKN 3.0 itu nanti wajar melalui kaedah baharu yang menitikberatkan latihan ketenteraan dan disiplin secara khidmat negara.
Pelaksanaan PLKN 3.0 itu nanti wajar melalui kaedah baharu yang menitikberatkan latihan ketenteraan dan disiplin secara khidmat negara.

SHAH ALAM - Alumni GPMS Kebangsaan menyambut baik cadangan Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan semula PLKN 3.0.

Menurut Presiden Alumni GPMS Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad, pelaksanaan semula PLKN 3.0 adalah satu kemestian bagi membina jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi baru.

Namun ujar beliau, pelaksanaan PLKN 3.0 itu nanti wajar melalui kaedah baharu yang menitikberatkan latihan ketenteraan dan disiplin secara khidmat negara serta bukan kerahan tenaga seperti yang diamalkan oleh sesetengah negara seperti Singapura dan Korea Selatan.

“Alumni GPMS Kebangsaan amat bersetuju dan menyokong penuh kewujudan semula PLKN tapi biarlah dengan perbelanjaan yang tidak besar namun membawa pulangan lebih baik contohnya dari segi modal insan maka ianya wajar disokong.

“Difahamkan kerajaan telah memutuskan PLKN 3.0 akan diteruskan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2021 yang meluluskan untuk kajian cara baharu pelaksanaan PLKN ini.

“Namun begitu ia juga bukan bersifat santai seperti latihan musim panas atau summer camp serta tiada kesinambungan,” katanya dalam satu kenyataan media sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Syed Anuar (lima, diri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan di Kuala Lumpur.
Syed Anuar (lima, diri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Jelas Syed Anuar lagi, Alumni GPMS Kebangsaan berpandangan positif sekiranya program PLKN 3.0 yang bakal diadakan secara berfasa untuk pelajar lepasan sekolah, diteruskan dan ia perlulah ada kesinambungan selepas itu seperti pada peringkat lebih tinggi meliputi di peringkat matrikulasi ataupun di peringkat pengajian tinggi awam mahupun swasta.

“Bagi latihan PLKN 3.0 yang bakal diadakan di 13 kem askar Wataniah selama 45 hari yang mana boleh menampung sehingga 20,000 peserta, pihak Alumni GPMS Kebangsaan amat bersetuju kerana selain dapat memanfaatkan kem-kem latihan dan sumber manusia sedia ada, ia juga dapat jimatkan kos kepada RM100 juta sahaja berbanding RM 500 juta setahun yang telah dibelanjakan semasa PLKN 1.0 dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai saranan agar latihan berasaskan kewarganegaraan serta disiplin, beliau berkata, ia sesuatu yang perlu memandangkan nilai-nilai kenegaraan dan patriotisme di kalangan belia khususnya pada hari ini perlu dipertingkatkan.

Ia bagi menjadikan mereka sebagai warganegara Malaysia yang faham dan menghormati Perlembagaan Malaysia khususnya dan Rukun Negara khasnya.

Syed Anuar berkata, Alumni GPMS Kebangsaan juga telah mengusulkan serta menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan supaya agensi seperti Biro Tatanegara(BTN) atau BTN 2.0 dikembalikan dan dijenamakan semula.

Ujarnya, BTN yang telah diwujudkan pada tahun 1982 perlu dikembalikan dan dijenamakan semula kerana ia menjuruskan kepada pelaksanaan program-program berunsurkan kecintaan dan patriotisme kepada generasi pewaris, warganegara Malaysia.

“Barisan Majlis Kerja Tertinggi Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan Sesi 2023-2026 dan para perwakilan seluruh negara yang hadir menyokong penuh usul dan saranan ini agar BTN 2.0 dikembalikan dengan jenama baharu mengikut kerangka Malaysia Madani kerana mempunyai impak kepada pembangunan sosial serta kenegaraan,” katanya.