'Kalau kemalangan, hilang nyawa, kitalah rasa berdosa'

KUCHING - Peningkatan peruntukan sebanyak 300 peratus bagi kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak pada tahun ini menjadi bukti jelas komitmen kerajaan Madani dalam memastikan keperluan infrastruktur asas di kedua-dua negeri itu diberi perhatian sewajarnya, selain memperkasakan penglibatan kontraktor kecil bumiputera tempatan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada 2024 dan 2025, Sabah dan Sarawak masing-masing hanya menerima peruntukan RM50 juta bagi tujuan berkenaan, namun jumlah itu meningkat ketara kepada RM200 juta bagi setiap negeri tahun ini.
"Jadi, yang saya nak terangkan dengan jelas… maknanya Kerajaan Madani prihatin kepada Sarawak dan Sabah. Jadi, jauh lebih banyak peruntukan untuk maksud ini berbanding dalam 2024 dan 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Cabutan Undi Tawaran Kerja Penyelenggaraan Berkala Jalan Persekutuan Negeri Sarawak Tahun 2026 di sini pada Ahad.
Mengulas pelaksanaan kerja di Sarawak, Alexander berkata, peruntukan RM200 juta itu melibatkan 141 kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi DAL HCM Sdn Bhd merangkumi kerja berkala turapan (BP) dan berkala bukan turapan (BPP).
Beliau berkata, program berkenaan turut menjadi platform penting untuk memperkasakan kontraktor kecil bumiputera kelas G1 hingga G4 melalui proses cabutan undi yang telus dan berasaskan keperluan sebenar di lapangan.
Ia sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor tempatan untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan infrastruktur negara.
Alexander berkata, semua kontraktor yang dilantik perlu melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab dan menjaga kualiti kerana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan langsung kepada keselamatan pengguna jalan raya.
"Kalau jalan kita tak diselenggara dengan baik, yang akan terkesan adalah pengguna.
"Kalau berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa, kitalah rasa berdosa. Sebab itu saya merayu kepada semua kontraktor, buatlah kerja dengan terbaik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk menyenaraihitamkan kontraktor yang gagal melaksanakan kerja dengan baik dan seperti yang dijadualkan. - Bernama
Ringkasan AI
- Peningkatan peruntukan sebanyak 300 peratus bagi kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak tahun ini menunjukkan komitmen kerajaan Madani
- Peruntukan meningkat dari RM50 juta kepada RM200 juta bagi setiap negeri
- Program itu melibatkan 141 kerja penyelenggaraan di Sarawak oleh syarikat konsesi DAL HCM Sdn Bhd
- Menjadi platform untuk memperkasakan kontraktor kecil bumiputera kelas G1 hingga G4
- Kontraktor yang gagal menjaga kualiti kerja mungkin disekat atau disenaraihitamkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
