Veteran ATM boleh dipilih sebagai jurulatih PLKN 3.0 - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dipilih menjadi jurulatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal dilaksanakan di kem tentera.

Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Majlis Veteran Kebangsaan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengalaman dan kepakaran dimiliki veteran ATM boleh dikongsi bagi membantu kelancaran program PKLN.

Menurut beliau, kerajaan turut membuka peluang pekerjaan menerusi pengumuman penambahan anggota renjer kepada 2,000 orang dengan melantik veteran ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Orang Asli dan komuniti setempat.

"Saya kira cadangan melantik jurulatih PKLN dalam kalangan veteran ATM boleh membantu kelancaran PLKN mengikut pengalaman yang mereka miliki.

"PLKN 3.0 yang akan dicadang dibuat di kem-kem tentera memberi peluang kepada veteran ATM dilantik sebagai jurulatih. Selain itu, 2,000 lantikan untuk renjer turut dibuka kepada veteran ATM," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM peringkat negeri di Mukim Ayer Baloi di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM60 juta diperuntukkan dengan tumpuan untuk melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, pada 9 Oktober lalu, kerajaan bersetuju meneruskan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, dengan anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih.