Mapim tubuh gabungan media pertahankan Al-Quds, Palestin

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menubuhkan secara rasmi Gabungan Media Untuk Mempertahankan Al-Quds dan Palestin-Malaysia, satu inisiatif nasional bertujuan menyatukan serta memperkukuh peranan media dalam mempertahankan kebenaran, keadilan dan hak rakyat Palestin.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penubuhan gabungan itu dibuat pada saat yang amat kritikal ketika genosid di Gaza, pendudukan berterusan ke atas Palestin serta pencabulan sistematik di Al-Quds semakin dinormalisasi, diseleweng atau dibisukan melalui naratif berat sebelah, laporan terpilih dan tekanan politik terhadap institusi media.

Menurutnya, gabungan berkenaan diwujudkan sebagai respons langsung terhadap kegagalan moral dalam pelaporan isu Palestin, sekali gus berfungsi sebagai platform kolektif untuk pengamal media yang komited kepada kewartawanan beretika dan kebenaran kemanusiaan.
“Gabungan ini menghimpunkan wartawan, editor, penyiar, pengamal media digital, ahli akademik, pencipta kandungan serta organisasi media bebas.
“Visi kami jelas, iaitu memastikan naratif Palestin dilaporkan secara tepat, bermaruah dan berlandaskan kejelasan moral, bebas daripada intimidasi, penapisan atau penyelewengan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bengkel ‘Menangani Naratif Genosid Gaza dan Palestin oleh Media Barat-Israel: Peranan Media Malaysia’ di Kompleks Karangkraf di sini pada Ahad.
Bengkel tersebut turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abushamala; Profesor Khas Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Mohd Adnan Hashim; Ketua Biro Al Jazeera Malaysia, Sameer Allawi serta wakil media tempatan.

Objektif teras penubuhan gabungan itu antara lain untuk menangkis maklumat palsu, propaganda dan naratif yang menafikan kemanusiaan Palestin, mengangkat suara dan realiti hidup rakyat khususnya di Gaza serta Al-Quds, mempertahankan kewartawanan beretika berasaskan undang-undang antarabangsa dan maruah insan di samping memperkukuh solidariti antara rangkaian media Malaysia dan antarabangsa.
Mohd Azmi berkata, terdapat keperluan mustahak untuk menekankan penggunaan bahasa dan terminologi yang menepati naratif memihak Palestin, berbanding menggunakan istilah yang selama ini dimainkan oleh media Barat-Israel sehinggakan diterima bulat-bulat oleh masyarakat.
Beliau berpendapat bahawa Gaza hari ini bukan hanya medan peperangan senjata, tetapi juga medan peperangan naratif.
Jelasnya, ketika rakyat Palestin terus menjadi mangsa hukuman kolektif, dunia pula dibanjiri maklumat yang dimanipulasi untuk mengaburkan realiti, mengalihkan tanggungjawab dan menormalisasikan kekejaman.
"Disinformasi telah menjadi senjata strategik. Ia digunakan untuk mengelirukan, membenarkan dan melumpuhkan kesedaran dunia. Maka dalam keadaan ini, tanggungjawab media bukan sekadar melapor, tetapi juga mempertahankan kebenaran sebagai amanah moral," katanya.
Menurutnya, media Malaysia mempunyai pengaruh di rantau ini dan cara Gaza digambarkan akan membentuk kefahaman awam, wacana dasar serta pendirian diplomatik negara.
"Diam dan memutar belit bukanlah neutral, ia menjadikan kita sebahagian daripada sistem penindasan.
"Justeru, media mesti kembali kepada peranan asal sebagai penjaga kebenaran dengan menamakan realiti sebenar, memberi ruang kepada suara mangsa, menyediakan konteks sejarah dan undang-undang, melatih wartawan mengenal propaganda dan sebagainya," ujar beliau.
Mohd Azmi dalam masa sama mengajak organisasi media di seluruh negara termasuk institusi akademik, pencipta kandungan, pembikin filem bebas dan penyedia platform digital untuk menyertai gabungan tersebut.
Beliau memaklumkan, Gabungan Media Untuk Mempertahankan Al-Quds dan Palestin-Malaysia akan mengumumkan dalam masa terdekat penubuhan jawatankuasa penyelaras interim, kerangka keahlian dan kod etika, pelan tindakan serta kempen media, selain program latihan dan kerjasama strategik di peringkat serantau serta antarabangsa.
"Perjuangan Palestin juga perjuangan menegakkan kebenaran. Apabila kebenaran dibisukan, kezaliman terus bermaharajalela.
"Malaysia mempunyai tanggungjawab moral untuk berdiri di sisi sejarah yang benar. Media pula memikul amanah besar untuk bersuara ketika yang lain memilih diam," katanya.
Ringkasan AI
- Mapim menubuhkan Gabungan Media Untuk Mempertahankan Al-Quds dan Palestin-Malaysia sebagai respons terhadap kegagalan moral dalam pelaporan isu Palestin
- Penubuhan ini bertujuan menyatukan peranan media dalam mempertahankan kebenaran, keadilan, dan hak rakyat Palestin
- Gabungan ini menghimpunkan pelbagai pengamal media untuk melaporkan naratif Palestin secara tepat dan beretika
- Objektif utama adalah menangkis maklumat palsu, propaganda, dan mengangkat realiti hidup rakyat Palestin
- Mohd Azmi menggesa media Malaysia menggunakan bahasa dan terminologi yang menepati naratif memihak Palestin serta bertanggungjawab mempertahankan kebenaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

