Perak kawal ajaran sesat dengan kerjasama polis

Harith Fadzilah
Harith Fadzilah
A
A
A

IPOH - Kemunculan ajaran sesat di Perak bukan pada tahap membimbangkan kerana penguatkuasaan terhadap kegiatan kumpulan berkenaan sentiasa dilakukan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa memandangkan ajaran sesat itu sentiasa muncul dari semasa ke semasa.

Menurutnya, bagi membendung kegiatan ajaran sesat di negeri ini, pihak JAIPk juga bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Khas dalam memastikan kumpulan terbabit dapat dikesan seterusnya ditangani dengan segera.

"Ajaran sesat di Perak ini memang ada tetapi kita masih boleh kawal. Kita juga sentiasa bekerjasama dengan Cawangan Khas PDRM dengan mengadakan pertemuan untuk kita mengawasi ajaran-ajaran sesat ini.

"Ajaran-ajaran sesat ini sentiasa ada, tapi kita dapat kawal dan tidak sampai tahap yang parah. Kebanyakan ajaran-ajaran ini dibawa dari luar Perak membawa pelbagai fahaman pelik dan tidak masuk akal tetapi yang saya hairan masyarakat kita boleh terpedaya," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Penutup Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sebuah hotel, di sini pada Khamis.

Hadir menyempurnakan majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Harith Fadzilah berkata, biarpun kumpulan ajaran sesat itu mempunyai pengikut tersendiri tetapi kewujudan mereka hanya sedikit dan tidak mengancam keselamatan.

Sementara itu, sebagai menyahut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk memperkasa serta memelihara akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, beliau berkata, beberapa langkah akan diambil termasuklah memperkemaskan lagi kurikulum pendidikan akidah di dalam silibus takmir di masjid dan surau di seluruh Perak.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pihaknya juga akan mengarahkan seluruh 18 pejabat tadbir agama di daerah di negeri ini mengawasi pengajaran di masjid dan surau bagi memastikan tiada ajaran bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pada Rabu, Sultan Nazrin bertitah agar umat Islam wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilindungi, dipelihara dan dihayati.

Ini kerana menurut baginda, ancaman ke atas pegangan ahli sunnah hari ini dilakukan secara terang oleh musuh Islam dan berselindung melalui gerakan batiniah tertentu.