Penguatkuasaan terhadap warga asing belum cukup tegas

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PERTAMBAHAN kedai niaga melibatkan warga asing terus mencetuskan kegusaran rakyat tempatan sehingga timbul persoalan mengenai keseriusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membuat pemantauan.

Orang ramai terus menyuarakan kebimbangan melihat warga asing semakin mendominasi kawasan perniagaan di lokasi tertentu terutama di sekitar Lembah Klang.

Baru-baru ini, kecoh mengenai peniaga warga asing yang mendominasi kawasan Nilai 3 di Negeri Sembilan.

Merak Jalanan juga rimas apabila melihat bukan sahaja kedai runcit, perabot dan karpet, malah bengkel serta kedai mencuci kenderaan pun sekarang diusahakan warga asing.

Walaupun undang-undang membenarkan warga asing bekerja di sektor perkhidmatan itu tetapi dikhuatiri sekiranya mereka menjadi tauke dan menggajikan rakan senegara.

Sedangkan garis panduan penyertaan asing dalam sektor perdagangan dan pengedaran di negara ini juga telah menyenaraikan warga asing tidak dibenarkan membuka kedai runcit, gerai dan lain-lain perniagaan kecil.

Bahkan, ada warga tempatan yang sanggup 'menggadaikan maruah negara' dengan menyewakan lesen dan premis perniagaan secara ali baba kepada warga asing untuk berniaga.

Sebelum ini pun kerajaan telah memberi amaran akan menarik balik atau membatalkan lesen perniagaan yang diberi kepada orang tempatan, jika didapati lesen itu disewakan kepada warga asing.

Artikel Berkaitan:

Bukan kerana kita membenci warga asing ini tetapi ada kalangan mereka yang semakin besar kepala, bersikap kurang beradab, pengotor dan mengganggu ketenteraman orang ramai. Lebih-lebih apabila mereka tinggal secara berkelompok dan mendominasi sesuatu kawasan perniagaan.

Justeru, Merak Jalanan amat berharap kerajaan menerusi agensi berkaitan melipat gandakan penguatkuasaan bagi mengekang kebanjiran warga asing ini.

Walaupun saban hari kita mendengar beberapa operasi dilakukan Jabatan Imigresen, namun ia masih belum cukup tegas untuk melegakan hati rakyat Malaysia yang semakin bimbang dengan kebanjiran warga asing, seolah-olah kita sendiri berada di negara orang.