Perak tak rancang laksana ternakan babi berpusat - Exco

IPOH - Kerajaan Perak tidak merancang untuk melaksanakan sistem ternakan babi berpusat seperti di beberapa negeri lain.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk A Sivanesan berkata, kerajaan negeri sebaliknya mengekalkan penternakan di beberapa lokasi sedia ada bagi mengelakkan risiko penularan penyakit berjangkit.
Menurutnya, pelaksanaan ternakan berpusat dibimbangi memberi kesan besar sekiranya berlaku wabak seperti African Swine Fever (ASF).
"Kalau kita buat secara berpusat dan terkena penyakit seperti yang pernah berlaku di Bukit Pelandok, ia boleh memusnahkan keseluruhan industri.
"Setakat Januari 2023, terdapat 125 ladang babi di Perak, namun jumlah itu telah berkurang kepada 85 ladang selepas kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa penstrukturan semula industri tersebut," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun ke-30 Hospital Pantai Ipoh di sini pada Sabtu.
Sivanesan berkata, susulan penstrukturan semula industri tersebut, sebanyak 30 ladang telah ditutup antara lain disebabkan wabak ASF dan kekangan kewangan oleh pemilik ladang-ladang babi berkenaan.
Menurutnya, ketika baru mempengerusikan jawatankuasa berkenaan, hampir 95 peratus ladang babi di negeri ini tidak mematuhi piawaian Penternakan Babi Moden (MPF) yang menggunakan sistem reban tertutup.
"Kita beri dua pilihan sahaja kepada pengusaha, sama ada beralih kepada MPF atau menutup operasi.
"Setakat ini, kira-kira 45 peratus ladang sedang atau telah beralih kepada MPF, manakala sekitar 20 peratus lagi masih dalam proses kelulusan,” katanya.
Mengulas isu pembinaan struktur tanpa kebenaran di sebuah ladang babi di Sungai Siput, Sivanesan menegaskan sebarang pembangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah melanggar undang-undang dan tindakan termasuk kompaun boleh dikenakan.
"PBT sedang menyiasat dan telah mengeluarkan arahan henti kerja.
"Saya sendiri akan melawat ladang berkenaan minggu ini bagi memastikan arahan itu dipatuhi," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bekalan daging babi di Perak adalah mencukupi termasuk bagi keperluan sambutan Tahun Baharu Cina tanpa perlu bergantung kepada import.
Pada 16 Januari lalu media melaporkan Kerajaan Persekutuan tiada halangan terhadap keputusan kerajaan Selangor untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor sekiranya kawasan itu didapati sesuai dalam aspek persekitaran serta pengurusan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebarang projek penternakan perlu memenuhi keperluan alam sekitar dan dilaksanakan mengikut perancangan yang strategik.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perak tidak merancang untuk melaksanakan sistem ternakan babi berpusat
- Pelaksanaan ternakan berpusat dibimbangi memberi kesan besar sekiranya berlaku wabak seperti African Swine Fever
- Jumlah ladang babi di Perak telah berkurang dari 125 kepada 85 ladang selepas penstrukturan semula industri
- Sebanyak 30 ladang telah ditutup disebabkan wabak ASF dan kekangan kewangan
- Bekalan daging babi di Perak adalah mencukupi tanpa perlu bergantung kepada import
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

