KPDN Perak rekod nilai rampasan RM3.57 juta

Kamalludin (belakang, empat dari kiri) bersama rakan strategik PJRM selepas memberikan penghargaan sempena Majlis Apresiasi KPDN Perak Bersama Rakan Strategik yang diadakan di Ipoh pada Jumaat.
Kamalludin (belakang, empat dari kiri) bersama rakan strategik PJRM selepas memberikan penghargaan sempena Majlis Apresiasi KPDN Perak Bersama Rakan Strategik yang diadakan di Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya merekodkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.57 juta hasil tindakan penguatkuasaan sepanjang tahun 2025.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, jumlah tersebut melibatkan 1,275 kes hasil pemeriksaan terhadap 124,917 premis di seluruh daerah di negeri ini.

Menurutnya, jumlah kompaun yang dikenakan turut meningkat ketara kepada RM1,129,950 berbanding RM358,200 pada tahun 2024.

“Peningkatan ini mencerminkan komitmen berterusan KPDN Perak dalam melaksanakan penguatkuasaan yang adil, telus dan berkesan demi menjaga kebajikan serta kepentingan rakyat.

"Kejayaan ini sekali gus mencerminkan pendekatan penguatkuasaan yang tegas, berintegriti dan adil," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau menyempurakan Majlis Apresiasi KPDN Perak Bersama Rakan Strategik yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kamalludin berkata, KPDN Perak turut mencatat pencapaian memberangsangkan menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah Payung Rahmah termasuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Bazar Ramadan Rahmah.

"Sepanjang Januari hingga Disember 2025, sebanyak 1,876 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan berbanding 943 program pada tahun sebelumnya.

"Program ini memberi manfaat kepada 2.34 juta pengunjung di seluruh Perak, meningkat berbanding 1.65 juta pengunjung pada 2024," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, jumlah jualan menerusi PJRM Negeri Perak pada 2025 turut meningkat kepada RM92.43 juta berbanding RM64.08 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam aspek kesedaran pengguna pula, beliau berkata, pelbagai program pendidikan dan advokasi berjaya dilaksanakan sehingga membolehkan Perak meraih Naib Johan Gerakan Pengguna Negeri SeMalaysia selain Johan Gerakan Pengguna Siswa SeMalaysia menerusi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Ipoh.

Dari sudut komunikasi media, KPDN Perak mencatat pencapaian membanggakan apabila memperoleh Tempat Kedua Anugerah Pengurusan Media KPDN Negeri Terbaik Tahun 2024 selain peningkatan penglibatan di media sosial dengan 884,800 pengikut di TikTok dan 151,000 pengikut di Facebook.

Kamalludin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja KPDN Perak serta rakan strategik atas komitmen dan sokongan padu sambil berharap prestasi cemerlang itu dapat diteruskan pada tahun 2026.

Ringkasan AI

  • KPDN Perak berjaya merekodkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.57 juta hasil tindakan penguatkuasaan sepanjang tahun 2025
  • Jumlah kompaun yang dikenakan meningkat ketara kepada RM1,129,950 berbanding RM358,200 pada tahun 2024
  • Sebanyak 1,876 Program Jualan Rahmah dilaksanakan sepanjang Januari hingga Disember 2025, memberi manfaat kepada 2.34 juta pengunjung di seluruh Perak
  • Jumlah jualan menerusi Program Jualan Rahmah Negeri Perak pada 2025 meningkat kepada RM92.43 juta
  • KPDN Perak mencatat pencapaian membanggakan di media dengan 884,800 pengikut di TikTok dan 151,000 pengikut di Facebook

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!