DE Rantau@Ipoh rancakkan sektor pelancongan, ekonomi Perak

Saarani (tiga dari kanan) merasmikan DE Rantau@Ipoh pada Rabu.
Saarani (tiga dari kanan) merasmikan DE Rantau@Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Program DE Rantau@Ipoh yang baharu dilancarkan di sini pada Rabu dijangka dapat menggalakkan mobiliti profesional digital dan pelancongan negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program yang menjadi pilihan utama komuniti Nomad Digital itu boleh membantu pertumbuhan ekonomi negeri.

"Ipoh kini salah satu lokasi bagi program DE Rantau selepas Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Lumpur dan Melaka. Pemilihan negeri ini dapat melonjakkan bandar raya Ipoh.

"Kita berharap dengan perkembangan baharu ini, ia dapat menyemarakkan lagi pelancongan sempena Tahun Melawat Ipoh dan Tahun Melawat Perak 2024," katanya kepada pemberita selepas melancarkan DE Rantau@Ipoh di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee dan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi.

Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan plak De Rantau kepada wakil Nomado and Alpaca Suites pada program DE Rantau@Ipoh.
Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan plak De Rantau kepada wakil Nomado and Alpaca Suites pada program DE Rantau@Ipoh.

Saarani berkata, berdasarkan rekod tahun 2022, Perak antara negeri tumpuan dengan merekodkan seramai 14.6 juta pelawat domestik.

"Menjelang tahun hadapan, kerajaan negeri mensasarkan seramai 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong luar negara berkunjung ke Perak.

"Inilah masa terbaik untuk kita bangkit semula memperkasakan sektor pelancongan dengan menyediakan sesuatu yang lebih bermakna dalam meningkatkan perniagaan mereka," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sedia berganding bahu dengan MDEC dalam memodenkan dan mendigitalkan perniagaan rakyat tempatan.