Hanya Melayu boleh pulih maruah Melayu

A
A

SEMALAM, berlangsung satu program yang dinamakan sebagai Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati Shah Alam. Kongres tersebut menghimpunkan pemimpin-pemimpin Melayu tanpa mengira parti politik termasuklah pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Kongres yang dihadiri lebih 20,000 peserta itu bukanlah program bersifat perkauman, sebaliknya ia satu kesedaran dan semangat ingin melihat masyarakat Melayu kembali bersatu dan menggilap semula kegemilangan bangsa.

Empat universiti iaitu UPSI, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta satu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam penganjuran kongres itu.

UM mengendalikan isu politik, UiTM (ekonomi), UPSI (pendidikan) dan UPM (kebudayaan) manakala NGO menumpukan bidang agama.

Menariknya, Tun Dr Mahathir yang merasmikan kongres itu bukan atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri tetapi hadir sebagai 'orang Melayu yang mahu membincangkan agenda orang Melayu di negara ini'.

Beberapa pemimpin UMNO dan Pas turut menghadiri kongres ini, antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Tan Sri Noh Omar. Memang sudah sampai masanya semua kepimpinan parti politik Melayu duduk bersama mendengar dan membincangkan berhubung masalah dan kemelut orang Melayu.

Tidak nampak kelibat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana difahamkan beliau tidak diundang untuk menghadiri kongres ini.

Apa sebenarnya tujuan kongres? Hakikatnya kedudukan orang Melayu begitu getir dan amat mencabar hari ini. Justeru kongres ini penting bagi mencari solusi bagaimana untuk menyelamatkan maruah Melayu daripada terus diinjak di bumi sendiri.

Perkataan 'maruah' berasal daripada bahasa Arab, iaitu 'muru'ah' yang mengikut Kamus Dewan bermaksud, 'kehormatan diri' atau 'harga diri'. Ia juga digambarkan dalam Kamus Dewan sebagai sifat laki-laki, iaitu keberanian dan kegagahan.

Sejak Kongres Melayu Pertama penuh bersejarah yang diadakan di Padang Kelab Sulaiman Kampung Baru menajdi kempen terhebat bangsa Melayu menentang Malayan Union pada 1 hingga 4 Mac 1946 diketuai Datuk Onn Jaafar, seruan supaya orang Melayu terus bersatu mempertahankan maruah bangsa, agama dan tanah air terus bergema sehingga ke hari ini ke era Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7.

Sudah tentulah isu maruah Melayu ini tanggungjawab bersama. Tetapi siapakah yang paling layak untuk mengembalikan semua maruah itu? Jawapannya, sudah tentulah orang Melayu itu sendiri.

Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, hanya Melayu yang boleh memulihkan maruah mereka sendiri tanpa mengharapkan orang lain untuk melakukannya.

Beliau berkata, kerajaan dengan sendirinya walaupun dipimpin oleh Melayu, tidak boleh memulihkan maruah Melayu sekiranya kaum itu tidak mahu berusaha untuk mengubah nasib mereka.

"Jangan minta orang lain lakukan sesuatu untuk memulihkan maruah kita. Melayu sendiri kena pulihkan maruah Melayu,” katanya.

Hari ini, orang Melayu hanya ada kuasa politik. Jika pemimpin Melayu sendiri tidak menguasai politik, apa yang ada lagi pada orang Melayu. Jika Pemimpin Melayu tidak bangkit menangani dan memperbetulkannya pasti ia akan terus lemah dan dikuasai kaum lain.

Walaupun orang Melayu merupakan kumpulan penduduk terbesar di negara ini iaitu 60 peratus daripada jumlah penduduk seramai 32 juta orang, perpecahan orang Melayu kepada kumpulan kecil menyebabkan mereka gagal memegang kuasa politik di negara sendiri. Rasanya sudah cukuplah naratif politik dan masa hadapan orang Melayu ditentukan untuk memuaskan kepentingan individu semata-mata.

Dari segi ekonomi, kegagalan orang Melayu merebut peluang yang ada menyebabkan orang asing mengambil peluang tersebut dan memajukan diri mereka sehingga menjadi kaya di negara ini.

Malah Dr Mahathir turut mencabar orang Melayu supaya jangan jadi bacul hingga sanggup melepaskan segala peluang ekonomi kepada pihak lain. Ini kerana sikap orang Melayu yang tidak mahu mencabar diri dan bersungguh-sungguh merebut peluang disediakan kerajaan hanya kerana soal gaji, kerja berat, kotor atau merbahaya menyebabkan maruah bangsa itu terhina.

Walaupun ada yang berasakan bahawa ucapan Dr Mahatahir pada kongres ini 'kurang perisa', malah dianggap menghina, tidak menaikkan imej dan maruah Melayu tetapi menjatuhkan semangat orang Melayu orang Melayu, namun kita perlu berfikiran terbuka dan menerimanya dengan positif.

Ini kerana ada kandungan dalam ucapan beliau yang meminta semua orang Melayu bersatu dan tidak berpecah-belah. Beliau mengakui bahawa kerajaan sekarang walaupun dipimpin orang Melayu, tetapi semangat keMelayuannya sudah tidak kuat.

Malah beliau mengakui, keadaan sekarang jauh berbeza dengan sebelum ini yang puncanya adalah perpecahan orang Melayu, menyebabkan parti-parti Melayu berebut sokongan daripada bangsa berkenaan hingga akhirnya tiada satu pun yang menguasai majoriti.

Kongres dengan tagline 'Tanah Aku' ini diharap dapat menyedarkan orang Melayu tentang amanah yang wajib mereka pikul untuk menjaga agama dan bangsanya. Pada masa yang sama, orang Melayu juga perlu sedar dengan ancaman masa depan di tanahair sendiri.

Seperti kata pepatah melayu, yang pahit itu ubat. Walaupun kenyataan Dr Mahathir itu terlalu pahit untuk ditelah, kita perlu menganggapnya sebagai ubat. Ini kerana yang manis itu adalah racun. Nasihat Dr Mahathir itu seperti ubat. Memang pahit, tapi insya-ALLAH boleh menyembuhkan jika kita mengambilnya dengan dos yang betul.

Biar kita tadah telinga dan pedih hati mendengar amanat Dr Mahathir tetapi sebenarnya 'leteran'nya itu adalah saranan yang positif dan membina dalam mengembalikan maruah Melayu yang semakin pudar.

Apa yang jelas, kongres semalam telah berjaya menghimpunkan orang Melayu daripada pelbagai latar dan mengenepikan perbezaan politik masing-masing.