Parti politik usah menggelabah jika disiasat - Azalina

Azalina pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan tapak projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Jumaat.
Azalina pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan tapak projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGG - Parti politik yang terbabit dalam siasatan dakwaan kes jenayah termasuk dana judi tidak perlu panik sebaliknya perlu membiarkan agensi penguatkuasaan selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, siasatan tidak akan terhenti oleh satu agensi penguat kuasa sahaja.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi penguatkuasa lain, boleh melihat dan menilai kes-kes berkenaan. Jangan kita melihat SPRM sahaja yang bertanggungjawab menyiasat.

"Siapa yang terlibat kes jenayah, jangan panik atau kelam kabut, biarkan agensi yang bertanggungjawab menjalankan siasatan. Saya cuma dimaklumkan mereka ada memberikan maklumat baharu tetapi saya tidak terlibat menjaga SPRM," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, pada 25 Mei, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka.

Seterusnya pada 26 Mei, Azalina menjelaskan, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, beliau hanya menyatakan SPRM tidak membuka fail memandangkan maklumat yang diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.

Justeru, siasatan dakwaan dana judi melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen PRU15 tidak dihenti atau digugurkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei dilaporkan mempertahan kenyataannya berhubung dakwaan PN memperoleh dana judi untuk berkempen semasa PRU15.

Anwar berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sekiranya tidak mempunyai asas berhubung dakwaan sebelum ini.