Pabila sekolah dibuka, dompet jadi bocor

SETIAP kali sesi persekolahan baharu bermula, negara meraikannya sebagai simbol kesinambungan pendidikan dan masa depan anak bangsa.
Namun, di sebalik laungan semangat ‘kembali ke sekolah’, wujud satu realiti sunyi jarang iaitu tekanan kos sara hidup semakin menghimpit dalam kalangan B40 untuk menyediakan keperluan asas persekolahan.
Hakikatnya, pembukaan sekolah bukan lagi sekadar urusan membeli pakaian seragam dan alat tulis.
Senarai keperluan kini semakin panjang meliputi beg sekolah, kasut, buku latihan tambahan, yuran persatuan, aktiviti kokurikulum, akses pembelajaran digital serta kos pengangkutan.
Dalam situasi harga barang terus meningkat, perbelanjaan awal persekolahan mencecah ratusan ringgit bagi seorang anak, satu angka cukup besar bagi keluarga yang berhemah dalam berbelanja.
Bagi keluarga B40, beban hadir serentak dengan komitmen bulanan lain yang tidak boleh dielakkan seperti sewa rumah, bil elektrik dan air dan sebagainya.
Keperluan persekolahan akhirnya menjadi satu dilema kewangan sama ada menyediakan yang terbaik untuk pendidikan anak atau memastikan kelangsungan keluarga terus terjaga.
Tekanan pasti lebih dirasai ibu tunggal yang terpaksa memikul tanggungjawab sebagai pencari nafkah utama, pengurus rumah tangga dan pada masa sama sebagai pendidik di rumah.
Dengan pendapatan tidak menentu serta sokongan terhad, ramai terpaksa membuat keputusan sukar sama ada membeli keperluan sekolah secara berperingkat, menggunakan barangan terpakai atau menangguhkan keperluan tidak mendesak walaupun memberi kesan kepada keyakinan dan emosi anak di sekolah.
Walaupun kerajaan menyediakan bantuan seperti Bantuan Awal Persekolahan (BAP), selain sokongan pusat zakat dan sumbangan badan bukan kerajaan, realitinya bantuan ini bersifat bermusim.
Jumlah bantuan diterima habis dalam tempoh singkat, sedangkan perbelanjaan berkaitan pendidikan berterusan sepanjang tahun dan memerlukan perancangan kewangan jangka panjang.
Lebih membimbangkan, perubahan landskap pendidikan semakin menuntut penggunaan teknologi turut melebarkan jurang sedia ada.
Keperluan peranti digital, bahan pembelajaran tambahan dan capaian internet bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan asas dalam sistem pendidikan moden.
Bagi keluarga berpendapatan rendah, tuntutan ini menambah satu lagi lapisan tekanan kewangan.
Persoalan asas yang perlu ditanya bukanlah tentang sikap ibu bapa terhadap pendidikan, kerana majoriti keluarga B40 amat menghargai pendidikan sebagai jalan keluar daripada kitaran kemiskinan.
Isunya adalah sejauh mana sistem pendidikan benar-benar inklusif dan mengambil kira kemampuan sebenar golongan rentan ini secara menyeluruh dan berterusan.
Jika pembukaan sesi persekolahan terus disambut tanpa melihat beban di sebaliknya, maka pendidikan berisiko menjadi satu keistimewaan, bukan lagi kewajipan.
Anak-anak daripada keluarga miskin akan terus memulakan tahun persekolahan dengan rasa kekurangan, sedangkan mereka sepatutnya bermula dengan peluang sama rata seperti rakan sebaya lain.
Sekolah sepatutnya membuka pintu masa depan, bukan mengoyakkan dompet keluarga yang sudah lama bergelut dengan kewangan.
Selagi realiti ini tidak ditangani secara tuntas, setiap loceng sekolah yang berbunyi akan terus mengingatkan bahawa kos pendidikan hari ini terlalu mahal untuk mereka yang memerlukannya dalam realiti kehidupan seharian rakyat Malaysia.
*Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

