Kajian laksana semula UPSR, PT3: Keputusan perlulah utamakan pelajar

KPM pada Isnin memohon sedikit masa untuk menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan mengembalikan UPSR dan PT3.
KPM pada Isnin memohon sedikit masa untuk menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan mengembalikan UPSR dan PT3.
A
A
A

PENTAKSIRAN Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) merupakan peperiksaan nasional yang pernah dilaksanakan bagi menilai pencapaian murid.

Namun, kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Pada Isnin, Kementerian Pendidikan (KPM) memohon sedikit masa untuk menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan mengembalikan UPSR dan PT3.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kajian itu perlu dilaksanakan secara teliti bagi menilai pelaksanaan pentaksiran yang sudah dijalankan sejak sekian lama, termasuk keberkesanannya terhadap perkembangan murid secara holistik.

“Kita mohon sedikit masa kerana kajian ini sedang dijalankan dan mandat sudah saya berikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

“Di peringkat KPM, kita sudah mempunyai pandangan-pandangan awal dan kita akan buat kajian yang menyeluruh sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan selanjutnya. Jadi bagi kita masa,” katanya.

Perkara tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ibu bapa, guru dan pemerhati pendidikan yang mempunyai pandangan berbeza terhadap keberkesanan sistem pentaksiran sedia ada.

Isu ini dilihat penting kerana ia melibatkan hala tuju penilaian akademik murid di peringkat menengah rendah.

Ada yang berpendapat pengembalian PT3 dapat menyediakan penanda aras pencapaian yang lebih jelas dan seragam antara sekolah di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Mereka beranggapan bahawa peperiksaan nasional memudahkan pemantauan prestasi pelajar secara menyeluruh.

PT3 juga dianggap membantu dalam proses penempatan aliran pelajar ke Tingkatan 4 dengan lebih sistematik dan berasaskan pencapaian akademik yang standard.

Namun begitu, terdapat juga pandangan yang menyuarakan kebimbangan bahawa pengembalian PT3 akan menghidupkan semula budaya peperiksaan yang menekankan keputusan akademik semata-mata.

Selain itu, beban tugas guru turut menjadi perhatian kerana pelaksanaan peperiksaan berpusat memerlukan pengurusan yang rapi serta pemantauan berterusan.

Secara keseluruhannya, isu pengembalian PT3 mencerminkan cabaran dalam mencari keseimbangan antara keperluan peperiksaan nasional dan pendekatan pentaksiran holistik.

Diharapkan, keputusan yang bakal dibuat kelak mampu memperkukuh sistem pendidikan serta memenuhi keperluan semua pihak yang terlibat.

Apapun keputusannya, ia perlulah memikirkan pelajar, jangan jadikan mereka tikus makmal yang akhirnya jadi mangsa, sebaliknya segala dasar dan eksperimen pendidikan perlu memberi manfaat sebenar kepada mereka serta membentuk generasi yang berdaya saing dan seimbang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!