Polis sahkan kilang tercemar gas ammonia kini selamat

Raiz Mukhliz menunjukkan kedudukan lokasi berlakunya kebocoran gas ammonia daripada pelan kawasan kilang kawasan kilang yang ditunjukkan di dalam sidang media hari ini.
Raiz Mukhliz menunjukkan kedudukan lokasi berlakunya kebocoran gas ammonia daripada pelan kawasan kilang kawasan kilang yang ditunjukkan di dalam sidang media hari ini.
A
A
A

MELAKA - Polis mengesahkan kawasan kilang memproses ayam di Serkam, Merlimau selamat dan bebas dari ancaman bahan kimia berbahaya selepas berlaku kebocoran gas ammonia kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melakukan kerja menyahcemar bahan kimia berkenaan sepenuhnya.

Menurutnya, pihak Hazmat mengambil masa selama 12 jam bermula jam 11.30 pagi semalam untuk melakukan kerja-kerja menyahcemar kawasan kebocoran gas berbahaya tersebut.

"Pasukan Hazmat telah bertindak pantas dan berjaya menutup kebocoran terakhir pada saluran paip gas kira-kira jam 2.40 pagi tadi dan kawasan itu telah dibiarkan selama empat jam untuk memastikan baki gas tersebut hilang sepenuhnya.

"Pada jam 10.32 pagi ini, saya telah menerima pengesahan terakhir daripada Hazmat bahawa kilang ini selamat dan bebas dari pencemaran gas ammonia," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Turut sama, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zulkifli Nordin, Ketua Polis Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu dan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hasan.

Orang ramai dan sebahagian pekerja kilang berkenaan menantikan perkembangan terkini mengenai insiden kebocoran gas yang berlaku.
Orang ramai dan sebahagian pekerja kilang berkenaan menantikan perkembangan terkini mengenai insiden kebocoran gas yang berlaku.

Menurut Raiz Mukhliz, meskipun kilang berkenaan telah disahkan selamat dan tiada lagi kebocoran namun keselamatan pengoperasian kilang hanya akan diberikan kebenaran oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Artikel Berkaitan:

"Soal keselamatan dan kebocoran gas ammonia kini sudah dapat diatasi selepas disahkan pisah berwajib namun hal berkaitan keselamatan pengoperasian kilang hanya akan ditentukan oleh pihak JKKP dan JAS sebaik mereka selesai melakukan pemeriksaan damlam tempoh antara sejam hingga empat jam," katanya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan tiada sekolah yang ditutup ekoran kejadian kebocoran gas ammonia berkenaan.

"Cuma sekolah terlibat memberikan cuti kepada pelajar mereka namun guru-guru perlu datang ke sekolah seperti biasa.

"Bagi pelajar yang terlibat dengan peperiksaan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) yang bertukar pusat peperiksaan di sekolah lain pagi ini akan menjalani peperiksaan itu di sekolah masing-masing mulai esok," katanya.

Beliau juga berkata, setakat ini siasatan mengenai punca kejadian masih lagi diteruskan.

Kejadian kebocoran yang berlaku telah menyebabkan, seramai 33 mangsa yang terdiri daripada pekerja kilang telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, sakit mata dan sesak nafas.

Bagaimanapun setakat ini, hanya 16 mangsa yang masih mendapatkan rawatan masing-masing 12 orang di Hospital Melaka dan empat di Hospital Jasin.