Isu kuil tanpa kebenaran di Melaka terkawal

Rais ketika ditemui pada Program Merentas Desa Menghias Bento di Sekolah Kebangsaan Cheng sempena Karnival Demi Paya Rumput, pada Selasa.
Rais ketika ditemui pada Program Merentas Desa Menghias Bento di Sekolah Kebangsaan Cheng sempena Karnival Demi Paya Rumput, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Isu rumah ibadat termasuk pembinaan kuil tanpa kebenaran di negeri ini berada dalam keadaan terkawal dan setiap aduan diterima diselesaikan secara harmoni.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri mempunyai data berkaitan rumah ibadat bukan Islam termasuk yang tidak berdaftar, namun tiada keperluan untuk mendedahkan maklumat berkenaan.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut lunas undang-undang sekiranya terdapat aduan atau isu yang benar-benar mengganggu ketenteraman awam.

“Kita faham isu dibangkitkan, namun saya yakin dan percaya setiap negeri mempunyai permasalahan dan solusi yang mungkin sedikit berbeza tetapi berdasarkan dasar yang sama.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) di negeri Melaka, saya sentiasa membawa perkara ini ke peringkat kerajaan negeri sekiranya terdapat isu yang benar-benar mengganggu, tidak kira melibatkan agama apa sekalipun terutamanya jika menerima aduan serius,” katanya ditemui pada Program Merentas Desa Menghias Bento di Sekolah Kebangsaan Cheng sempena Karnival Demi Paya Rumput, di sini, pada Selasa.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, antara isu yang berjaya diselesaikan termasuk struktur kuil yang dibina di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melimau hasil campur tangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, pihak TNB dan pengurusan kuil.

Selain itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri juga sedang dalam proses menyelesaikan isu sebuah kuil yang terletak di tepi Sungai Melaka yang berada di atas tanah pemaju.

Pada masa sama, beliau menyambut baik kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang menegaskan keperluan setiap rumah ibadat memiliki kebenaran merancang.

“Kerajaan negeri sentiasa melaksanakan proses pemutihan dan menggalakkan semua rumah ibadat yang belum berdaftar atau belum mempunyai kebenaran merancang supaya mengemukakan permohonan.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan berbincang bersama bagi mengelakkan masalah berlaku di kemudian hari,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat menggunakan saluran yang betul serta tidak membesarkan isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian.

“Jika ada perkara yang benar-benar mengganggu seperti yang berlaku di negeri lain, maklumkan kepada pihak berkuasa dan kita akan bertindak segera.

“Setakat ini, Alhamdulillah, kita tidak berdepan isu besar dan kerajaan negeri sentiasa bertindak pantas sebelum sesuatu perkara menjadi lebih serius,” katanya.

Ringkasan AI

  • Isu rumah ibadat termasuk pembinaan kuil tanpa kebenaran di Melaka berada dalam keadaan terkawal
  • Kerajaan negeri Melaka mempunyai data berkaitan rumah ibadat bukan Islam termasuk yang tidak berdaftar
  • Tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang jika terdapat aduan mengganggu ketenteraman awam
  • Isu struktur kuil yang dibina di bawah pencawang TNB di Melimau telah diselesaikan
  • Kerajaan negeri menggalakkan rumah ibadat yang belum berdaftar atau belum mempunyai kebenaran merancang untuk mengemukakan permohonan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!