Suspek ancaman bom palsu sudah diberkas

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki membuat panggilan palsu berhubung ancaman bom di pusat beli-belah AEON Mall Klebang pada Rabu.

Lelaki tempatan berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Tasek dekat sini sekitar jam 9.30 malam iaitu kurang lima jam selepas laporan kejadian diterima.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, berdasarkan keterangan dan pengakuan diberikan, suspek bertanggungjawab terhadap panggilan ancaman bom tersebut kepada pengurusan pusat beli-belah.

"Polis turut merampas peranti komunikasi yang digunakan suspek untuk membuat panggilan tersebut.

"Suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Yahaya berkata, laporan kejadian itu diterima pada jam 4.50 petang daripada pekerja yang menerima panggilan daripada individu tidak dikenali tentang ancaman bom dalam bangunan.

Katanya, pemeriksaan menyeluruh kemudiannya dilakukan dengan bantuan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Hasil pemeriksaan mengesahkan tiada sebarang objek meragukan ditemui. Selepas keadaan selamat, semua kakitangan dibenarkan masuk semula pada jam 10.30 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat panggilan ancaman bom palsu dengan sewenang-wenangnya.

"Keadaan ini hanya mendatangkan ketakutan kepada orang ramai dan menggugat ketenteraman awam," katanya.

Pada Rabu, bangunan AEON Mall Klebang diarah dikosongkan berikutan panggilan ancaman bom.

Pusat beli-belah berkenaan dibenarkan beroperasi seperti biasa hari ini selepas mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa tentang keselamatan premis itu.

ARTIKEL BERKAITAN:

AEON Mall Klebang dikosongkan angkara ancaman bom