Zakat fitrah Negeri Sembilan RM7.50, RM12 dan RM20

Mohd Shahrom (tiga dari kiri) dan Zafir (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2026
Mohd Shahrom (tiga dari kiri) dan Zafir (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2026
A
A
A

NILAI - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7.50, RM12 dan RM20 bagi tahun ini.

Timbalan Pengerusi MAINS, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin berkata, penetapan itu dibuat berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Sembilan, pada kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.751 kilogram.

“Pewartaan kadar zakat fitrah ditetapkan RM7.50 bagi pengguna beras jenis Super Special Tempatan lima peratus, RM12 bagi pengguna beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni, manakala RM20 bagi pengguna beras jenis Super Basmathi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2026 di Masjid Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong, di sini, pada Isnin.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Zafir Ibrahim.

Ujarnya, bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam menunaikan ibadah itu, MAINS menyediakan pelbagai kaedah pembayaran termasuk secara bersemuka dan dalam talian.

“Antaranya, pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan melalui kaunter zakat MAINS di seluruh negeri serta menerusi 1,200 Amil Zakat Fitrah yang ditauliahkan MAINS dengan menggunakan aplikasi Mobile MyAmil Fitrah, selain secara dalam talian di www.zakatns2u.biz/fitrah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau permasalahan berkaitan boleh menghubungi talian MAINS di 06-765 1402 atau melayari laman sesawang www.mains.gov.my,” katanya.

Menurutnya, MAINS menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM8 juta pada tahun ini berbanding RM7.8 juta yang berjaya dikutip pada tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Agihan Wakaf Tunai ‘Ain bagi tahun 2025 berjumlah RM5,127,257.83 telah diagihkan secara berfokus merangkumi empat sektor utama, iaitu pendidikan, kesihatan, sosioekonomi dan pengembangan harta.

Artikel Berkaitan:

“Antara bentuk agihan yang telah dilaksanakan termasuk penyediaan peralatan kesihatan seperti mesin oksigen, mesin ultrabunyi serta peralatan perubatan untuk kegunaan hospital kerajaan dan swasta.

“Dana wakaf tunai turut dimanfaatkan bagi pembangunan masjid dan surau, madrasah, pusat tahfiz serta penyediaan kemudahan pendidikan seperti peralatan pembelajaran, komputer dan penghawa dingin,” katanya.

Tambahnya, jumlah terkini pewakaf melalui skim potongan gaji adalah seramai 5,112 orang dengan jumlah kutipan sebanyak RM1,214,157.45.

Ringkasan AI

  • MAINS menetapkan tiga kadar zakat fitrah RM7.50, RM12 dan RM20 berdasarkan jenis beras
  • Timbangan zakat fitrah ialah satu gantang bersamaan 2.751 kilogram
  • Pelbagai kaedah pembayaran zakat disediakan termasuk bersemuka dan dalam talian
  • Kutipan zakat fitrah MAINS sasaran RM8 juta tahun ini
  • Agihan Wakaf Tunai 'Ain RM5,127,257.83 untuk pendidikan, kesihatan, sosioekonomi, dan pengembangan harta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!