Bawa anak saudara 7 tahun mengemis jadi 'Spiderman'

MELAKA – Dua ‘Spiderman’, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang mengemis di hadapan sebuah stesen minyak di Cheng, di sini, diambil tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka pada Ahad.
Tindakan itu diambil susulan aduan orang awam mengenai kegiatan seorang lelaki berusia 50 tahun yang membawa anak saudara perempuannya mengemis dengan memakai kostum lusuh itu sekitar jam 4 petang.
Didapati beberapa kenderaan berhenti bagi menghulurkan sumbangan ke dalam sebuah kotak putih tertera tulisan ‘Sumbangan Ikhlas Hati’.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya memandang serius perbuatan mengeksploitasi kanak-kanak bagi tujuan meraih simpati orang awam.
Menurutnya, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang melarang eksploitasi kanak-kanak, termasuk menggunakan mereka untuk mengemis, melakukan kerja berbahaya atau bagi tujuan komersial serta keuntungan tidak wajar.
“Perbuatan ini salah dan boleh dianggap sebagai memperdagangkan serta mengeksploitasi kanak-kanak walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai pemeriksaan bersama pegawai JKM sekitar jam 6 petang pada Ahad.

Tindakan membawa kanak-kanak itu mengemis turut mengundang rasa simpati orang awam apabila kanak-kanak berkenaan dilihat kepenatan sebelum berteduh di bawah payung sambil beberapa kali meneguk minuman.
Lebih menyedihkan, ada ketika kanak-kanak terbabit yang mengenakan kostum koyak di bahagian tumit ditinggalkan sendirian selama beberapa minit bersama kotak sumbangan yang digantung di leher.
Kalsom berkata, JKM telah mengambil keterangan lelaki terbabit dan siasatan awal sedang dijalankan untuk tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini, lelaki terbabit tidak ditahan namun amaran keras telah diberikan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya perbuatan sama berulang.
“Sekiranya berdepan masalah kewangan atau kekurangan makanan, gunakan saluran bantuan yang betul dan bukannya melibatkan kanak-kanak dalam situasi seperti ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Dua 'Spiderman' termasuk kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun diambil tindakan oleh JKM Melaka
- Lelaki 50 tahun membawa anak saudara mengemis sambil pemakai kostum lusuh
- Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin, memandang serius eksploitasi kanak-kanak
- Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM20,000
- JKM sedang menjalankan siasatan dan memberi amaran keras kepada lelaki terbabit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

