PBT di Negeri Sembilan diarah pantau pembinaan rumah ibadat baharu - Exco

SEREMBAN – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarahkan supaya melakukan pemantauan terhadap pembinaan rumah ibadat baharu serta menghentikan serta-merta pembinaan yang tidak mendapat kelulusan.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, arahan itu bertujuan mengelakkan timbulnya permasalahan pada masa hadapan.
Menurutnya, kegagalan mengambil tindakan awal boleh menyebabkan isu terbabit berlarutan sehingga puluhan tahun.
“Kalau hari ini kita tidak ambil apa-apa tindakan, mungkin 20 atau 30 tahun akan datang kita masih berdepan isu rumah ibadat ini.
“Maka perkara pertama yang kita perlu ambil tindakan ialah pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran, tanpa kelulusan dan tanpa penyelesaian isu tanah,” katanya ditemui pemberita di Senawang, di sini, pada Selasa.
Ujar Arul Kumar, semestinya isu akan timbul apabila rumah ibadat tersebut dikenakan tindakan penguatkuasaan atau perobohan yang boleh mencetuskan ketegangan.
Beliau tidak mahu adanya pertambahan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan atau didirikan di tempat tidak sepatutnya.
"Saya juga seorang Hindu dan turut tidak bersetuju apabila ada orang suka hati buat rumah ibarat tepi jalan.
Menurut Arul Kumar, isu pasti timbul apabila tindakan penguatkuasaan atau perobohan dilaksanakan kerana ia boleh mencetuskan ketegangan.
Justeru, beliau tidak mahu berlaku pertambahan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan atau didirikan di lokasi tidak sesuai.
“Saya sendiri seorang Hindu dan saya juga tidak bersetuju apabila ada pihak membina rumah ibadat sesuka hati di tepi jalan kerana kita perlu menjaga kesucian rumah ibadat dan agama kita.
"Sewaktu saya memegang jawatan sebagai Exco Hal Ehwal Bukan Islam pada tahun 2018, saya telah arahkan semua PBT supaya segera ambil tindakan terhadap rumah ibadat yang baharu dibina tanpa kelulusan.
"Jangan biarkan rumah itu beroperasi bertahun-tahun tanpa ada apa-apa tindakan. Itu kegagalan kita juga di peringkat penguatkuasaan," katanya.
Beliau turut mengakui kebanyakan isu rumah ibadat yang timbul melibatkan binaan lama, khususnya di kawasan estet.
Ujarnya, apabila berlakunya pembangunan, rumah ibadat tersebut tidak dipindahkan ke tempat lain dan dibiarkan di situ sehingga akhirnya mencetuskan masalah.
“Sekiranya rumah ibadat itu dibina di atas tanah yang sesuai dan tidak melibatkan tanah milik individu, mereka boleh memohon kepada kerajaan negeri untuk mewartakannya sebagai tanah rumah ibadat atau dipindahkan ke lokasi lain.
"Tapi ada juga yang mereka mohon kita tidak luluskan kerana lokasinya tidak sesuai atau rizab untuk kegunaan lain,"katanya.
Selain itu, beliau berkata, setiap pemaju projek perumahan yang mempunyai kapasiti 10,000 penduduk diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya satu ekar rizab tanah untuk rumah ibadat.
Apa yang pasti, Arul Kumar berkata, kerajaan negeri cuba menyelesaikan isu rumah ibadat secara harmoni bagi mengelakkan timbulnya ketegangan antara kaum.
Bagaimanapun beliau memaklumkan tiada rekod jumlah kuil di Negeri Sembilan termasuk yang dikenal pasti dibina tanpa kelulusan.
Ringkasan AI
- Semua PBT di Negeri Sembilan diarah lakukan pemantauan terhadap pembinaan rumah ibadat baharu dan henti yang tidak berkelulusan
- Arahan bertujuan elak masalah pada masa depan dan menghindari isu berlarutan puluhan tahun
- Isu rumah ibadat tanpa kelulusan boleh mencetuskan ketegangan apabila dikenakan tindakan penguatkuasaan
- Pembangunan rumah ibadat harus dilaksanakan di tanah yang sesuai dan boleh dipindahkan jika perlu
- Kerajaan negeri cuba selesaikan isu rumah ibadat secara harmoni untuk elak ketegangan antara kaum
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

