Jangan cakap sedap mulut, sila kemuka bukti

Ahmad Samsuri (tengah) menyaksikan persembahan silat oleh Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Terengganu sebaik tiba bagi merasmikan mesyuarat agung persatuan itu di Dewan Muzium Terengganu, hari ini.
Ahmad Samsuri (tengah) menyaksikan persembahan silat oleh Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Terengganu sebaik tiba bagi merasmikan mesyuarat agung persatuan itu di Dewan Muzium Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekali lagi menegaskan wang royalti Terengganu bukan untuk kegunaan parti sebaliknya akan disalurkan kepada rakyat.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mendakwa berlakunya penyalahgunaan wang itu diminta mengemukakan bukti.

"Kita minta pihak yang menyebut perkara sedemikian, mengemukakan bukti. Kalau semua bercakap ikut sedap mulut tanpa beri apa-apa bukti, maka punah-ranahlah sistem yang ada dalam negara kita.

"Kalau pihak yang rasa ada sesuatu (tak kena), dia kena bawak bukti. Dari situ kita boleh tengok," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pusaka Terengganu kali ke-17 di Dewan Muzium Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sistem audit untuk penerimaan dan perbelanjaan wang kerajaan negeri begitu telus dan sudah tentu tidak berlakunya unsur-unsur penyalahgunaan wang royalti itu.

"Kita mempunyai sistem audit untuk semua penerimaan dan perbelanjaan (wang). Jadi tidak timbul bahawa ia digunakan untuk parti politik.

"Jadi saya kembalikan persoalan ini kepada mereka yang mendakwa ia disalah guna. Pada saya ia (dakwaan salah guna) adalah tidak benar," katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penyalahgunaan wang royalti yang dilihat masih bertiup kencang menerusi media sosial itu.

Artikel Berkaitan:

Pada sidang Dun ke-14 lalu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menerima bayaran royalti minyak dan gas sebanyak RM300 juta yang dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Ogos dan awal Oktober lalu.

Katanya, kerajaan Terengganu berharap menerima baki bayaran wang royalti berjumlah antara RM400 juta hingga RM500 juta daripada Petronas sebelum akhir tahun ini.