Pengalaman luas Tok Pa dapat bantu empat negeri PN - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (tengah) bersama Mustapa (kanan) ketika mengadakan pertemuan pada Ahad. - Facebook Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri (tengah) bersama Mustapa (kanan) ketika mengadakan pertemuan pada Ahad. - Facebook Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengalaman luas bekas menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed diharap dapat membantu meningkatkan hasil dan tahap ekonomi di empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan ialah kesenjangan pembangunan di negeri-negeri 'Malay Belt', pembangunan aset negeri untuk meningkatkan hasil, peningkatan tahap ekonomi negeri serta peningkatan pelaburan.

"Selain itu bagaimana empat negeri di bawah Pas/PN dapat mengadakan kerjasama bagi menanganinya dalam kerangka kuasa kerajaan negeri di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Pengalaman luas Tok Pa sejak sekian lama dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pengajian Tinggi dan sebagainya diharap dapat membantu kami di empat negeri," katanya di Facebook pada Ahad malam.

Ahmad Samsuri telah mengadakan pertemuan dengan Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa pada Ahad untuk berbincang mengenai isu-isu mikro negeri.

PRN Terengganu dan PRK Kuala Terengganu yang berlangsung pada 12 Ogos lepas mencipta sejarah selepas semua calon PN memenangi kesemua 32 kerusi DUN yang ditandingi termasuk satu kerusi Parlimen.

Perkembangan itu pastinya membuka lembaran baharu dalam politik di Terengganu apabila fungsi pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan tidak berlaku dalam tempoh penggal ini.

Selain Terengganu, tiga negeri lain di bawah pemerintahan PN ialah Kelantan, Kedah dan Perlis.

Artikel Berkaitan: