Sanusi selesai angkat sumpah Menteri Besar Kedah

ADUN Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada Isnin. - Foto Bernama
ADUN Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada Isnin.

Muhammad Sanusi, 49, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, melafaz sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di sini pada jam 10.15 pagi ini.

Muhammad Sanusi dilantik semula ke jawatan itu selepas PN mendapat kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lepas.

Beliau sebelum ini merupakan Menteri Besar Kedah yang dilantik dan mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 17 Mei 2020 selepas mendapat sokongan majoriti ADUN ketika itu.

Pada PRN kali ini, Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah mempertahankan kerusi DUN Jeneri yang disandangnya sebelum ini, selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dengan majoriti 16,050 undi.

Dilahirkan pada 4 Ogos 1974, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak antara 2008 hingga 2013.

Beliau mula menjadi calon dalam pilihan raya sewaktu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) di kerusi DUN Belantek, namun tewas kepada calon BN, Datuk Mohd Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.

Pada PRU14, beliau bertanding di DUN Jeneri dan berjaya menewaskan dua calon lain iaitu Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PKR) dengan majoriti 2,455 undi.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi yang berkelulusan ijazah dari Universiti Sains Malaysia mendirikan rumah tangga bersama Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan dikurniakan lima anak. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Kedah tidak akan diskriminasi bukan Melayu

Lantikan Exco Kedah dalam minggu ini - Sanusi

'Saya maafkan semua termasuk Saifuddin' - Sanusi

Sanusi beri jaminan ADUN PN tidak akan terpalit rasuah

Sanusi selesai angkat sumpah Menteri Besar Kedah