Pengguguran exco cuma khabar angin: Asmuni

Asmuni (dua, kanan) menerima cenderahati daripada Penasihat Utama YDKMM, Dr Mohd Hizul Azri Md Noor selepas menyempurnakan pelancaran program berkenaan di Masjid Sultan Idris Shah ll (Masjid Negeri Perak) di sini.
A
A

IPOH - Dakwaan sebuah portal berita mengenai dua Exco Kerajaan Perak akan digugurkan selepas Aidifitri ini hanya khabar angin, demikian menurut Exco Kanan Kerajaan Perak, Asmuni Awi.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangannya bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini, semua exco sedia ada akan dikekalkan.

"Laporan sebuah portal yang memetik sumber itu tidak benar. Jadi semua cerita itu sekadar khabar angin.

"Memang ada pemberita hubungi saya tanya betul ke tak, mereka kata ada sumber beritahu ada pertukaran.

"Katanya sumber itu seorang ADUN, jadi tanyalah mana dia dapat cerita?," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Fajar Sejuta Pemuda di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini, hari ini.

Asmuni berkata demikian, ketika diminta mengulas dakwaan sebuah portal bahawa dua Exco Kerajaan Negeri akan digugurkan iaitu ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Menurut laporan itu lagi, kedua-dua mereka akan digantikan dengan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad.

Sebelum ini, Abdul Yunus yang ditemui media ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama TNB baru-baru ini memaklumkan tidak menerima sebarang surat atau pemberitahuan mengenai pelantikan Exco Kerajaan Negeri yang baharu.

Beliau menyerahkan sebarang keputusan sama ada dilantik semula atau digugurkan sebagai Exco Kerajaan Negeri kepada Ahmad Faizal.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia