4 ahli Parlimen BN Johor akan tarik sokongan hanya khabar angin

Jafni menyerahkan kunci kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Kunci Taman Saujana Jaya, Kulai pada Selasa.
Jafni menyerahkan kunci kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Kunci Taman Saujana Jaya, Kulai pada Selasa.
A
A
A

KULAI - Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyifatkan dakwaan empat Ahli Parlimen Barisan (BN) dari Johor akan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan sebagai tidak berasas.

Beliau yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkata, setakat ini tiada kesahihan mengenai perkara itu dan masih dianggap sebagai khabar angin.

"Saya tidak nampak ada 'official' (bukti jelas) benda ini akan berlaku. (Setakat ini perkara itu) hanya khabar angin," katanya mengulas dakwaan tujuh ahli Parlimen BN akan mengosongkan kerusi mereka dan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Daripada jumlah tersebut, empat dari Johor, satu dari Sabah, satu dari Pahang dan satu lagi dari utara tanah air.

Terdahulu, Jafni yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Taman Saujana Jaya di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada sebab untuk ahli Parlimen berkenaan berbuat demikian kerana Johor merupakan politik di negeri ini stabil.

"Kita ada 40 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) bersama dengan BN dan kita adalah kerajaan yang stabil. Kita semua fokus untuk bina Johor yang lebih baik, jadi isu-isu politik ini bukan isu utama di Johor.

"Isu utama kita di Johor adalah macam mana mahu majukan negeri dan rakyat dapat faedah daripada pembangunan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: