Jawatan Exco Kanan pengiktirafan kepada BN - Jalaluddin

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

KUALA PILAH - Buat pertama kali dalam sejarah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan diwujudkan jawatan Exco Kanan yang disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut Jalaluddin, ia merupakan satu pengiktirafan apabila jawatan terbabit diberi kepada ADUN Barisan Nasional (BN).

"Ini jawatan yang belum pernah diwujudkan di Negeri Sembilan. Maka Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah berkenan untuk mewujudkan satu jawatan khas iaitu Exco Kanan yang telah diberi kepada BN.

"Ini merupakan satu pengiktirafan kepada BN dan Insya-ALLAH sebagai Exco Kanan, saya akan pastikan supaya portfolio yg diletakkan di bawah Exco Kanan ini dapat dilaksanakan dengan baik," katanya kepada pemberita ditemui selepas mengangkat sumpah Exco di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Khamis.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan itu berkata, sebagai Exco Kanan, beliau akan memastikan perjalanan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar berada dalam keadaan stabil dan tidak diganggu gugat.

Pada masa sama beliau berharap Kerajaan Perpaduan di negeri ini menjadi satu contoh dan ikon berbanding negeri lain.

"Ini merupakan fasa kedua selepas melalui pilihan raya negeri (PRN) tempoh hari yang mana ketika itu kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan(PH) telah menampakkan kebersamaan sehingga kita berjaya cipta kejayaan.

"Jadi hari ini bermualanya fasa kedua yang mana kerjasama antara BN dan PH harus diperkukuhkan dan tiada lagi pasukan BN dan tiada lagi pasukan PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, yang ada sekarang adalah satu pasukan Kerajaan Perpaduan yang akan memacu pembangunan Negeri Sembilan dengan lebih baik demi kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, apa yang penting sekarang untuk memastikan segala agenda pembangunan negeri khususnya untuk kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Ia juga bagi memastikan manifesto yg kita telah bentangkan oleh Kerajaan Perpaduan ketika hadapi PRN lalu dapat dilaksanakan," katanya.