Sultan Perak berkenan hadiri makan malam amal KBGK

Sumbangan RM100,000 disampaikan kepada Maahad Ad Deeniyah.
Sumbangan RM100,000 disampaikan kepada Maahad Ad Deeniyah.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Bersama Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Hotel Casuarina di sini pada Ahad.

Keberangkatan baginda pada jam 8.10 malam itu disambut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Presiden KBGK, Muhammad Hamzah Md Hamdan.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyaksikan persembahan Dayang Nurfaizah yang mendendangkan lagu Di Pintu Syurga, Ketipang Payung, Umpan Jinak di Air Tenang juga You to Me Are Everything dan The Greatest Love of All.

Majlis turut diserikan dengan persembahan penuh bertenaga daripada Hael Husaini menerusi lagu Jampi, Hajat, Peluang Kedua yang dipopularkan Nabila Razali, Aku Cinta Padamu Nyanyian Datuk Shiela Majid dan lagu Can't Take My Eyes Off You.

Sultan Nazrin berkenan ke Majlis Makan Malam Amal Bersama Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Hotel Casuarina pada Ahad.
Sultan Nazrin berkenan ke Majlis Makan Malam Amal Bersama Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Hotel Casuarina pada Ahad.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudiannya berangkat meninggalkan majlis tersebut selepas meluangkan masa kira-kira dua jam.

Artikel Berkaitan:

Makan malam berkenaan diadakan bertujuan mengumpul dana kelab bagi pelaksanaan program dan aktiviti sepanjang tahun 2024 dan 2025 termasuklah pemberian sumbangan kepada badan-badan kebajikan.

Lebih RM500,000 berjaya dikumpul menerusi jualan meja majlis amal berkenaan dengan kehadiran sekitar 700 tetamu.

Pengerusi Majlis Makan Malam, Norali Nordin berkata, sebahagian daripada kutipan amal tersebut telah disumbangkan kepada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah maahad dengan jumlah keseluruhan RM200,000.

Menurutnya, KBGK kini bergerak aktif menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang tertumpu kepada pendidikan, ekonomi dan hal-hal kebajikan.

"Antara yang telah dirangka program naik taraf sekolah orang asli dan kolej komuniti, kem ekonomi serta kursus asas perniagaan bagi memberi peluang kepada usahawan meluaskan perniagaan," katanya.