MBI akan patuh arahan baharu pembangunan bukit batu kapur

Rumaizi (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Sumbangan Duit Raya kepada anggota MBI B40 dan Anak Yatim di sebuah restoran pada Jumaat.
Rumaizi (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Sumbangan Duit Raya kepada anggota MBI B40 dan Anak Yatim di sebuah restoran pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mematuhi segala ketetapan yang akan dibuat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak berkaitan pengoperasian kawasan pelancongan melibatkan bukit batu kapur di sekitar Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sementara menunggu pekeliling baharu daripada jawatankuasa berkenaan, semua pusat-pusat rekreasi dan kawasan pelancongan akan beroperasi seperti biasa.

Menurutnya, hanya Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling masih belum dibenarkan beroperasi susulan kejadian maut melibatkan seorang lelaki tempatan ditimpa bongkah batu kapur yang jatuh di kawasan terbabit.

"Kita akan patuh (arahan pekeliling Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak). Tak ada masalah kalau keluar pekeliling nanti kita ikut lah.

"Kita ikut arahan semasa kerajaan negeri. Buat masa ini yang ditutup Qing Xin Ling sahaja yang lain-lain masih dibenar seperti biasa sehingga pekeliling baharu keluar, jadi kita patuh ikut arahan tersebut," katanya kepada pemberita Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Sumbangan Duit Raya kepada anggota MBI B40 dan Anak Yatim di sebuah restoran di sini pada Jumaat.

Pada 17 April lalu, media melaporkan kerajaan negeri Perak mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi pekeliling membabitkan aspek keselamatan berkaitan pembangunan kawasan gua dan kaki bukit batu kapur yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pekeliling tersebut akan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak yang dipengerusikan Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan semua pembangunan di kawasan di kaki bukit dan di dalam gua batu kapur di negeri ini selamat untuk kunjungan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 8 April lalu melaporkan seorang pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu seberat lima kilogram ketika mengunjungi sebuah kawasan rekreasi dekat Gunung Rapat di sini pada Isnin.

Laporan kejadian itu diterima sekitar jam 11.30 pagi melibatkan lelaki warga tempatan berusia 44 tahun.

Susulan kejadian itu, kawasan pelancongan tersebut ditutup sementara, sehingga laporan penuh berhubung kejadian maut berkenaan disiapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!