Saksi jejak wang 1MDB di akaun Najib relevan - Pendakwaan

NAJIB
NAJIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, mempertahankan saksinya sebagai keterangan yang relevan dan berfakta.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata demikian selepas pihak pembelaan bekas Perdana Menteri itu mempertikaikan kredibiliti keterangan penganalisis Pasukan Petugas Khas dalam 1MDB.

Ahmad Akram berkata, Adam Ariff Mohd Roslan, 29, dipanggil memberi keterangan di mahkamah sebagai penganalisis menggunakan fakta terhadap penyata akaun dan dokumentasi perbankan lain.

Susulan itu beliau berkata, pendakwaan tidak pernah meletakkan saksi ke-47 itu sebagai saksi pakar.

Pada ketika ini, Ahmad Akram memberitahu, saksi pendakwaan itu merupakan saksi berdasarkan fakta (witness of fact).

"Dia memberi keterangan berdasarkan fakta maka kegagalan untuk meneruskan soal balas menunjukkan (pembelaan) menerima fakta yang dinyatakan," katanya.

Ahmad Akram mengutarakan isu itu selepas pasukan pembelaan Najib mempersoalkan kepakaran saksi berhubung penjejakan wang dana 1MDB dalam akaun pemimpin UMNO itu.

Semasa prosiding, Muhammad Shafee mengutarakan perkara itu selepas Adam Ariff yang juga penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) mengakui bukan seorang pakar dalam aspek jejak wang.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan pengakuan itu, peguam ini mempersoalkan sama ada mahkamah boleh menerima keterangan saksi berkenaan sebagai relevan atau sebaliknya.

"Jadi apa yang dinyatakan tidak relevan kerana keterangannya adalah berdasarkan dokumen yang boleh dianggap sebagai dengar cakap atau satu pendapat.

“Bukan itu sahaja, pandangan itu juga bukan satu pendapat seorang pakar," katanya.

Semasa memberi keterangan pada hari pertama, 30 Ogos lalu, Adam Ariff telah menyediakan laporan jejak aliran wang setebal 76 muka surat, menunjukkan RM2.28 bilion daripada 1MDB dimasukkan ke dua akaun peribadi Najib.

Adam Ariff merupakan seorang juruanalisa yang telah dilantik bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung petang ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!