Lebih £9.45 juta dana 1MDB masuk akaun Najib - Saksi

KUALA LUMPUR - Seorang penganalisis pasukan petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa lebih £9.45 juta dana 1MDB telah dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 lalu.
Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata demikian semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).
Saksi ini yang juga bertugas sebagai penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, sumber itu diperoleh daripada dua firma asing iaitu, Blackrock Commodities (Global) Ltd dan Vista Equity International Partners.
Syarikat berkenaan dipercayai telah dikawal Eric Tan Kim Loong iaitu dipercayai bersekutu ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.