Dana RM1.89 bilion 1MDB masuk akaun Najib - Penganalisis BNM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu diberitahu bahawa dana AS$681 juta atau RM1.89 bilion yang berasal daripada 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Najib melalui lapan transaksi pada 2013.
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu diberitahu bahawa dana AS$681 juta atau RM1.89 bilion yang berasal daripada 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Najib melalui lapan transaksi pada 2013.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa dana AS$681 juta atau RM1.89 bilion yang berasal daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak melalui lapan transaksi pada 2013.

Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata, dana itu dipindahkan antara 22 Mac 2013 dan 10 April tahun yang sama oleh Tanore Finance Corp, syarikat yang dikawal oleh Eric Tan Kim Loong, yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Sebelum itu, ia dilaporkan Tanore menerima sejumlah AS$890 juta daripada anak syarikat 1MDB, 1MDB Global Investment Limited (1GIL) melalui dua dana fidusiari iaitu Devonshire Capital Growth Fund dan Enterprise Emerging Markets Fund (EEMF) pada Mac 2013.

Hari ini, Adam Ariff, saksi pendakwaan ke-47 mengesahkan Tanore memindahkan AS$681 juta ke akaun Najib antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013.

"Menurut penyata bank Najib, didapati sebanyak RM465,000,000 telah dikreditkan melalui tiga transaksi pada 22 Mac 2013 iaitu RM369,974,962.98 dipindahkan pada 28 Mac, tahun yang sama melalui dua transaksi," katanya ketika mengesahkan laporan jejak wang itu pada perbicaraan kes Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Beliau seterusnya berkata, pada 8 April tahun yang sama, Najib juga menerima sejumlah RM152,500,000 dan pada 9 April dan 10 April, beliau menerima RM304,000,000 dan RM602,000,000, masing-masing daripada Tanore.

Pada hari pertama perbicaraan pada 28 Ogos 2019, pihak pendakwaan berhujah bahawa pada 14 Mac 2013, Najib menandatangani surat sokongan untuk mendapatkan pinjaman melalui terbitan bon oleh 1MDB daripada Bank of New York Mellon Group berjumlah AS$3 bilion dan pada 19 Mac 2013 sejumlah AS$2.721 bilion disalurkan ke akaun 1GIL dengan BSI Bank di Lugano, Switzerland.

Daripada AS$2.721 bilion itu, sejumlah AS$1,060,606,065 telah dibayar kepada Devonshire dan EEMF. Devonshire menerima AS$646,464,649 dalam lima tranche manakala EEMF menerima AS$414,141,416 dalam tiga tranche.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 Mac 2013, Devonshire memindahkan AS$430 juta kepada Granton Property Holding Ltd yang merupakan syarikat yang dikawal oleh Eric Tan.

Pada hari yang sama, Granton memindahkan keseluruhan jumlah itu kepada Tanore dan pada hari yang sama (21 Mac 2013) Devonshire memindahkan sejumlah AS$210 juta kepada Tanore.

Kemudian, antara 22 Mac 2013 dan 25 Mac, tahun yang sama, EEMF memindahkan AS$250 juta kepada Tanore yang oleh itu pada tarikh berkenaan mempunyai AS$890 juta dalam pegangannya. Antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013, Tanore memindahkan AS$681 juta ke akaun tertuduh.

Najib,70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung. - Bernama