Kerusi Muda di Puteri Wangsa perlu dipulangkan - Aminolhuda

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa milik Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dimenangi atas sokongan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, meskipun Muda tidak menyertai PH ketika itu, namun bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya (electoral pact).

Jelasnya, menerusi pakatan pilihan raya itu, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju memberikan enam DUN kepada Muda iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, dan Bukit Permai.

"Pimpinan Muda perlu belajar sejarah, jangan gopoh atau semata-mata hanya membuat langkah populis sahaja. Ingat kembali bagaimana mereka peroleh kemenangan di Puteri Wangsa.

"Kami (PH) yang bagi laluan berdasarkan kepada pakatan pilihan raya, tetapi sekarang mereka mengkhianati kami selepas tarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, penyandang kerusi Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz sewajarnya memulangkan kerusi berkenaan kepada PH.

"Amira Aisya yang juga Timbalan Presiden Muda ada dua pilihan, pertama keluar dari Muda sertai Amanah atau letak jawatan sebagai ADUN seterusnya pulang kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Amanah," katanya.

Pada Isnin, Muda dilaporkan tidak lagi berada dalam blok pengimbang PH di Johor selepas memutuskan kerjasama dan keluar daripada gabungan politik itu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, langkah itu adalah wajar berdasarkan keputusan terkini yang telah diumumkan Muda selepas tidak lagi sehaluan dengan PH dalam beberapa perkara.

Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, menyifatkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai kacang lupakan kulit kerana bertindak keluar dari PH yang telah bersusah payah membantu kemenangannya di Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Pada PRU15, kami susah payah bantu, kalau logo PH tiada di sebelah logo Muda ketika itu, mungkin akan jadi seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini, kalah," katanya.

Pada Ahad, Muda memaklumkan akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Syed Saddiq menjelaskan, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan hilang majoriti dua pertiga

'Kalian semua juga perlu kosongkan kerusi' - Syed Saddiq

Semoga episod ngeri bersama Muda jadi pengajaran - Fadhli Umar

Muda tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan - Syed Saddiq

Syed Saddiq menang di Muar dengan sokongan DAP, PH - Anthony Loke

'Tarik sahaja sokongan kalau Muda anak jantan tulen' - Mohd Puad

Muda tahu impak tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan - Saifuddin

Muda ancam tarik sokongan Kerajaan Perpaduan