Muda tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan - Syed Saddiq

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, keputusan menarik sokongan dibuat setelah berbincang dengan kepimpinan parti dan mengakui ia keputusan yang sukar dilaksanakan.

"Perjalanan ke hadapan akan panjang dan bersendirian, namun berbaloi kerana Malaysia sentiasa menjadi keutamaan.

"Tindakan kerajaan hari ini menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) menyukarkan Muda untuk kekal dalam kerajaan," katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Facebook pada Ahad.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, beliau tidak akan membenarkan Malaysia menormalkan rasuah dan kekal berprinsip.

Sebagai rakyat Malaysia yang bangga, beliau mahu melihat negara ini membangun dengan menegakkan perundangan dan meraikan kepelbagaian.

"Muda dengan ini ingin fokus sebagai kuasa ketiga di blok Pembangkang supaya menjadi suara rakyat, mainkan peranan semak dan imbang.

Artikel Berkaitan:

"Muda akan tetap menyokong segala usaha reformasi institusi dan perihal rakyat.

"Ini bukan kali pertama saya membuat keputusan berdasarkan prinsip (kerana) pada 2020 semasa Langkah Sheraton berlaku, saya ditawarkan jawatan menteri, pengerusi GLC, saya tolak (walaupun) diugut, saya lawan kerana mahu membina Malaysia yang bermaruah dan berintegriti," tegasnya.

Sementara itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan Muda lewat petang Ahad, parti itu mempercayai institusi perundangan negara telah dicemari dan kerajaan seolah-olah telah menormalisasikan budaya rasuah.

Kenyataan itu menjelaskan, janji reformasi yang diberikan sebelum pilihan raya juga telah diabaikan dengan memberi alasan kerajaan pada hari ini masih baharu.