Muda ancam tarik sokongan Kerajaan Perpaduan

Syed Saddiq (kiri), Amira Aisya - Foto Bernama
Syed Saddiq (kiri), Amira Aisya - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) mengancam akan menarik sokongan seterusnya keluar daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menjelaskan secara terperinci berhubung keputusan mahkamah terhadap kes rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu selaras dengan keputusan mesyuarat parti yang diadakan pada Isnin, selain menyifatkannya sebagai ‘garis merah’ yang sudah dilanggar.

Justeru Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, Muda akan menggerakkan kempen dan protes sekiranya beberapa tuntutan tidak ditunaikan sebelum parti itu bertindak keluar kerajaan.

“Muda tidak teragak-agak untuk menilai kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan. Sebab itu Muda ambil langkah menggerakkan kempen protes di jalan raya dan media sosial,

“Kami mendesak tiga perkara dilakukan dan jika tidak ditunaikan, kami akan ambil tindakan (keluar dari kerajaan),” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Sementara itu Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz menyeru semua Ahli Parlimen kerajaan memberi kenyataan berhubung isu tersebut ekoran Kerajaan Perpaduan dibentuk atas dasar percaya akan melawan rasuah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu turut mempersoal sekiranya ada pendakwaan baharu bakal dibuat oleh AGC pada masa akan datang.

“Jika ada, apakah garis masanya. Ini satu perkara yang AGC perlu jelaskan kepada rakyat (kerana) kes ini berprofil tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Apakah tanggungjawab AGC untuk mengurus persepsi dan menambah keyakinan orang ramai apabila belum ada penjelasan berkenaan kes Ahmad Zahid. Jawapan ini perlu diberi segera kerana orang ramai sudah membuat persepsi sendiri.

“Ketiga, adakah keputusan ini akan menjadi kes duluan (precedent) kepada mana-mana ahli politik akan dibawa ke mahkamah. Adakah selepas ini sekiranya kes lain di peringkat bela diri, AGC turut mohon untuk melepaskan tanpa membebaskan (tertuduh)," ujarnya.