'Tarik sahaja sokongan kalau Muda anak jantan tulen' - Mohd Puad

Mohd Puad dan laporan Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Puad dan laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) tidak perlu mengancam untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan perbicaraan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, parti itu tidak perlu memberi amaran atau turun ke jalan raya sebagai protes sebaliknya membuat tindakan seperti yang dinyatakan.

"Tarik sahaja sokongan kalau Muda anak jantan tulen.

"Lagi pun Muda secara tidak rasmi sudah keluar Kerajaan Perpaduan. Muda tanding solo di PRN (pilihan raya negeri) 6 negeri. Semua hilang deposit. Muda yang langgar red line," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Mohd Puad menambah, Muda tidak perlu menjadikan kes dilepas tanpa bebas (DNAA) Ahmad Zahid sebagai ugutan agar parti itu diterima masuk dalam Pakatan Harapan (PH).

Pada Selasa, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan itu selaras dengan keputusan mesyuarat parti yang diadakan pada Isnin selain menyifatkan ia sebagai ‘garis merah’ sudah dilanggar.

Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, Muda akan menggerakkan kempen protes di jalan raya dan media sosial sekiranya beberapa tuntutan tidak ditunaikan sebelum parti itu bertindak keluar kerajaan.

Mohd Puad berkata, tidak wajar mengugut kerajaan hilang majoriti dua per tiga sebaliknya beliau mencabar Ahli Parlimen Muar itu mengosongkan kerusinya.

“Bolehkah Muar dan Puteri Wangsa menang tanpa sokongan PH?

Artikel Berkaitan:

“Pasti tidak berani, hanya mengugut,” ujarnya.