Penyatuan UMNO-Pas perlu bermula di Melaka - Dr Akmal Saleh

SHAH ALAM – Penyatuan Melayu antara dua parti terbesar, UMNO dan Pas perlu segera dimulakan di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, berdasarkan rekod semasa di Melaka, UMNO memenangi 21 daripada 28 kerusi manakala Pas tidak memenangi sebarang kerusi.
“Kalau kita tengok berdasarkan keputusan, kita menang 21 daripada 28, Pas kosong. Lepas itu, kekuatan Pas pun tak berapa sangat di Melaka,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu penyatuan Melayu tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut pembahagian kerusi atau kekuatan parti dalam pilihan raya.
“Saya dah nyatakan pendirian. Apabila UMNO dengan Pas, kenapa UMNO dengan Pas? Sebab ini adalah dua parti Melayu yang terbesar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta memilih sama ada UMNO perlu bergerak secara solo atau bergabung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam sesi temu bual Podcast Keluar Sekejap dihoskan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau menjelaskan, pendirian itu bukan bermaksud menolak parti lain seperti Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya melihat penyatuan Melayu perlu dimulakan dengan dua parti Melayu terbesar terlebih dahulu.
“Kita terima, tak ada masalah. Tapi penyatuan untuk Melayu ini mesti dimulakan dengan dua parti Melayu yang terbesar,” ujarnya.
Mengulas kemungkinan bantahan dalam kalangan ahli UMNO sendiri, khususnya di Melaka, beliau mengakui mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendiriannya.
"Ini bukan soal parti. Apabila kita bercakap tentang penyatuan orang Melayu, ia melebihi soal kepentingan parti.
"Kita tidak boleh hanya bercakap mengenai retorik, sebaliknya pemimpin perlu mulakan pada diri sendiri... dan bermula di Melaka sama ada jadi atau tidak," ujarnya.
Beliau turut merujuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengenai konsep 'Rumah Bangsa' yang membuka ruang kepada sesiapa yang mempunyai jiwa dan perjuangan sama untuk bersama UMNO.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penyatuan Melayu bukan bertujuan mengambil hak kaum lain.
“Kita tak pernah ambil hak orang lain pun. Tapi bila kita bercakap tentang bangsa dan musyawarah nasional, itu soal masa depan,” ujarnya.
Dr Akmal turut mendedahkan wujud keresahan dalam kalangan orang Melayu di peringkat akar umbi yang merasa kedudukan mereka tidak selamat dalam landskap politik semasa.
Menurutnya, perpecahan orang Melayu kepada terlalu banyak parti politik mengakibatkan suara golongan itu menjadi minoriti, sekali gus menjejaskan kekuatan politik mereka.
"Mungkin orang Melayu di Kuala Lumpur tidak merasainya, tetapi jika anda turun ke bawah (akar umbi), ini adalah isu sebenar yang sentiasa diperkatakan," tambahnya.
Ringkasan AI
- Penyatuan Melayu antara UMNO dan Pas perlu segera dimulakan di Melaka
- UMNO memenangi 21 daripada 28 kerusi di Melaka, manakala Pas tidak memenangi sebarang kerusi
- Isu penyatuan Melayu tidak hanya tentang pembahagian kerusi tetapi lebih pada penggabungan dua parti Melayu terbesar
- Pendirian ini bukan bermaksud menolak parti lain seperti Amanah, PKR, atau Bersatu tetapi prioritas adalah kepada penyatuan UMNO dan Pas
- Perpecahan orang Melayu ke dalam banyak parti politik melemahkan kedudukan mereka dalam politik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

