'Kalian semua juga perlu kosongkan kerusi' - Syed Saddiq

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen itu meskipun wujud desakan agar beliau membuat demikian selepas mengumumkan menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu meminta pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengosongkan kerusi kerana telah melanggar ikrar memerangi rasuah.

Ini kerana, beliau menegaskan tidak pernah mengkhianati janji kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Jikalau saya perlu kosongkan kerusi kerana ingin lawan rasuah, saya cadang beli cermin untuk ahli Parlimen atau menteri yang kata perkara tersebut.

"Kalian semua perlu kosongkan kerusi juga. Sejak bila kamu dipilih untuk gugurkan rasuah. Adakah kamu sedia untuk kosongkan kerusi juga,” katanya menerusi siaran langsung di media sosial pada Ahad.

Syed Saddiq berkata, reformasi yang dijanjikan PH telah dibatu-nisankan susulan 'pembebasan' Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah.

"Apa platform yang kita berjuang? Sebelum PRU kita (kata) takkan gugurkan rasuah, akan lawan rasuah, akan bawa pembaharuan.

"Apa yang dijanjikan sebelum PRU dengan lepas PRU bagai langit dan bumi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak dalam satu kenyataan, menggesa Syed Saddiq mengosongkan kerusi Parlimen Muar dan bertanding semula atas tiket Bebas.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan kerana kemenangan Syed Saddiq bagi kerusi itu bukanlah atas kapasitinya sendiri tetapi atas semangat Muda sebagai pakatan pilihan raya bersama PH.

"Umum mengetahui kemenangan kerusi Parlimen Muar disumbang oleh kekuatan sokongan, jentera dan pengaruh PH.

"Kegagalan beliau mengosongkan kerusi adalah tindakan menculik kerusi Parlimen Muar dengan menjadikannya sebagai third force serta satu pengingkaran terhadap mandat rakyat di Parlimen Muar yang memilih Parti Muda sebagai pakatan pilihan raya bersama PH," katanya.