AMK tak takut kerjasama UMNO-Pas di Melaka, yakin buka ruang lebih luas untuk PH

Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Dr Muhamad Akmal yang menegaskan, penyatuan antara UMNO dan Pas perlu dimulakan segera di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU). Gambar kecil: Danish
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Dr Muhamad Akmal yang menegaskan, penyatuan antara UMNO dan Pas perlu dimulakan segera di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU). Gambar kecil: Danish
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan untuk UMNO dan Pas bekerjasama di Melaka bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak mendatangkan sebarang ketakutan kepada Angkatan Muda Keadilan (AMK), sebaliknya yakin ia membuka ruang lebih luas kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin mendakwa, pandangan peribadi yang disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh itu jelas memperlihatkan kegelisahan politik yang sedang melanda parti berkenaan.

Menurutnya, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu juga bukan lahir daripada kekuatan, tetapi kebimbangan terhadap realiti sokongan rakyat hari ini, selain sebagai percubaan menghidupkan semula naratif lama yang sudah diuji dan ditolak rakyat dalam beberapa pilihan raya lalu.

"Saya ingin menegaskan bahawa AMK dan PH tidak pernah gentar untuk bertanding. Kita telah melalui pelbagai medan pertarungan politik, sama ada ketika menjadi kerajaan mahupun pembangkang.

"Kita yakin kepada kekuatan dasar, rekod prestasi dan sokongan rakyat yang mahukan politik matang serta pentadbiran yang berintegriti. Jika seruan Ketua Pemuda UMNO memilih untuk bersama Pas dalam PRN akan datang, itu adalah hak mereka. Namun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan bahawa landskap politik Melaka telah berubah.

"Kerjasama sedemikian tidak menakutkan kami, malah membuka ruang lebih luas untuk PH mengulangi dan memperkukuh prestasi baik di peringkat negeri dan Parlimen. Rakyat hari ini menilai berdasarkan keupayaan mentadbir dan kejujuran politik, bukan sekadar retorik perkauman," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Muhamad Akmal dalam satu sesi temu bual audio siar pada Rabu menegaskan, penyatuan antara UMNO dan Pas perlu dimulakan segera di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Menurutnya, meskipun rekod semasa di negari berkenaan menyaksikan Pas tidak memenangi sebarang kerusi pada PRN lalu dan UMNO menang 21 daripada 28 kerusi, namun beliau menekankan bahawa isu penyatuan Melayu tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut pembahagian kerusi atau kekuatan parti.

Sementara itu, Danish dalam masa sama berkata, Dr Muhamad Akmal seharusnya lebih cermat dalam membaca mesej rakyat memandangkan politik masa depan bukan lagi hanya bersandarkan sentimen dan slogan penyatuan sempit, tetapi penyelesaian, kestabilan dan pembaharuan.

Artikel Berkaitan:

"AMK akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip reformasi dan keyakinan rakyat. Kita tidak pernah gentar. Kita tidak pernah bergantung pada ilusi kekuatan. Kita yakin pada mandat rakyat dan kita bersedia menghadapinya pada bila-bila masa," katanya.

 

Ringkasan AI

  • AMK yakin kerjasama UMNO dan Pas di Melaka membuka ruang kepada PH
  • Ketua Pemuda UMNO mengungkap kegelisahan politik, bukan kekuatan
  • AMK dan PH siap bertanding berdasarkan kekuatan dasar dan rekod prestasi
  • Penyatuan UMNO dan Pas dilihat sebagai hak mereka namun landskap politik Melaka telah berubah
  • AMK bertekad mempertahankan prinsip reformasi dan keyakinan rakyat, tidak bergantung pada ilusi kekuatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!