Mohd Hairi tewas, Yahya menang Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru

Mohd Hairi, Yahya
Mohd Hairi, Yahya
A
A
A

JOHOR BAHRU - [KEMAS KINI] Pemilihan semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menyaksikan Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah tewas kepada pencabarnya iaitu bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor, Datuk Yahya Jaafar.

Mohd Hairi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Naib Ketua Pemuda UMNO meraih 260 undi, manakala Yahya mendapat 292 undi daripada 592 perwakilan yang hadir dengan satu undi rosak.

Proses pembuangan undi yang bermula pada jam 10 pagi dilaporkan berjalan lancar dan pengiraan undi mula dilakukan mulai 11 pagi.

Untuk rekod, pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru ditangguhkan dan digantung pada 18 Mac lalu susulan dakwaan kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir.

Keputusan itu dibuat Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin selepas dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Bahagian Johor Bahru, Sonawan Mad Som

Pada 1 April lalu, UMNO Johor dilaporkan akan mengambil alih pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lalu.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman diberi tanggungjawab mengendalikan pemilihan bahagian tersebut

Jawatan Ketua Bahagian itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin dan Yahya.

Sebelum ini, jawatan tersebut disandang oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad sejak lebih 40 tahun lalu sebelum beliau mengumumkan tidak mempertahankan jawatan berkenaan, Februari lalu.