Empat lelaki ditahan kes roboh kuil

GOMBAK – Empat lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian merobohkan sebuah kuil di sini tanpa ada perbincangan dan tiada pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian tersebut pada Rabu.
"Hasil siasatan mendapati sebahagian kuil telah dirobohkan tanpa ada perbincangan dan tiada pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan serta pengadu sebelum melakukan aktiviti pembersihan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shazeli berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427, 295, 504, 447 Kanun Keseksaan.
"Seramai empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun telah ditahan serta kita merampas sebuah jengkaut," katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasiserta kekal rasional dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, agama atau mengganggu ketenteraman awam.
"Kita memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan adil berlandaskan lunas undang-undang.
"Sehubungan itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Eqhmal Hakimi Zainodin di talian 013-6117371 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
