Muda tahu impak tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan - Saifuddin

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Ceramah Kelompok di Taman Anggerik hari ini. - Foto Bernama
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Ceramah Kelompok di Taman Anggerik hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berhak menilai semula kedudukannya dalam menyokong Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Muda perlu tahu baik dan buruk di sebalik langkah yang bakal mereka ambil.

"Itu saya anggap sebagai satu reaksi yang diluahkan dan sebagai sebuah parti politik, Muda tahu baik buruk tindakan yang mereka buat.

"Saya tidak ada sebarang komen apa-apa kerana mereka berhak untuk bertindak mengikut mengikut pertimbangan mereka," katanya selepas kempen di Taman Anggerik, Kempas pada Selasa malam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Sebelum itu, Muda dalam kenyataannya dilaporkan tidak akan teragak-agak untuk menilai kedudukannya semula dalam menyokong Kerajaan Perpaduan, jika tiga tuntutan parti itu terhadap perkembangan kes membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menganggap keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu terhadap kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram adalah suatu perlanggaran terbesar terhadap garisan merah institusi kehakiman negara.

Mengenai desakan Muda agar Jabatan Peguam Negara menjelaskan di Parlimen mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, parti itu boleh mengusulkan perkara berkenaan pada sidang Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Ya, Muda boleh usulkan, bentang atau tidak itu keputusan Speaker kerana aturan urusan mesyuarat dibuat oleh Speaker," ujarnya.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.