AMK Pulau Pinang gesa wakil rakyat Muda letak jawatan

Gambar kecil: Abshar
Gambar kecil: Abshar
A
A
A

GEORGETOWN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menggesa semua wakil rakyat daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletak jawatan dan kembalikan sokongan kepada rakyat semula sekiranya benar parti itu memegang kepada prinsip perjuangan mereka.

Ketua penerangannya, Abshar Nurasyraf berkata, keputusan yang dibuat Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu sudah dijangka sejak dahulu lagi.

"Tindakan beliau serta Muda pada Ahad itu adalah disebabkan kononnya Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melanggar garis merah prinsip perjuangan mereka.

"Jika mereka memegang kepada prinsip, semua wakil rakyat Muda perlu meletak jawatan dan kembalikan sokongan kepada rakyat, itu baru lah dikatakan berprinsip jitu.

"Jika benar beliau membuat keputusan ini atas dasar prinsip, maka beliau juga wajib menzahirkan prinsip beliau yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Kata beliau, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022, Muda memenangi satu kerusi di Puteri Wangsa manakala Syed Saddiq telah memenangi kerusi Parlimen Muar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

"Ini semua hasil sokongan dan semangat yang tidak berbelah bahagi dari penyokong tegar dan jentera-jentera Pakatan Harapan (PH).

"Atas semangat itu juga, hari ini parti Muda mempunyai dua wakil rakyat. Bayangkan jika penyokong PH tidak menyokong, tentu mereka akan kehilangan deposit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan Syed Saddiq supaya jangan hanya pandai berkokok umpama ayam jaguh tapi hakikatnya, ekor bergelumang tahi.

"Dalam usaha negara kini menuju ke arah sebuah negara Malaysia Madani, sebagai seorang pemimpin muda di peringkat nasional, beliau harus bersama-sama membantu dan menggembleng tenaga membantu kerajaan dalam menyumbang idea-idea polisi serta dasar bernas terhadap nasib golongan rentan serta belia dan anak muda.

"Bukannya hanya berperanan sebagai individu yang mencari salah kerajaan tetapi bersama-sama dalam barisan kerajaan sebelumnya," katanya.

Dalam pada itu, Abshar juga meminta supaya Syed Saddiq tidak hanya tahu menuduh pihak lain jahat untuk menampakkan dirinya baik.

"Jika prinsip menjadi ukuran, maka prinsip beliau pasti lebih baik lagi. Jadi ini masanya untuk membuktikan kononnya Muda membawa idealisme serta politik baharu dalam negara.

"Pesanan saya kepada Muda dan Syed Saddiq, jangan jadi ibarat bintang di langit boleh dibilang, tetapi arang di muka tidak sedar.

"Beliau sendiri terlibat dalam perbicaraan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Tinggi," katanya.

Tambah beliau, dalam PRN di enam negeri yang lalu, Muda sendiri telah melanggar konsensus bersama gabungan Perpaduan apabila meletakkan calon mereka sendiri bagi menentang calon-calon dari parti-parti gabungan yang telah bersepakat membentuk Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Muda akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Syed Saddiq menjelaskan, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, keputusan menarik sokongan dibuat setelah berbincang dengan kepimpinan parti dan mengakui ia keputusan yang sukar dilaksanakan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, beliau tidak akan membenarkan Malaysia menormalkan rasuah dan kekal berprinsip.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan hilang majoriti dua pertiga

'Kalian semua juga perlu kosongkan kerusi' - Syed Saddiq

Semoga episod ngeri bersama Muda jadi pengajaran - Fadhli Umar

Muda tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan - Syed Saddiq

Syed Saddiq menang di Muar dengan sokongan DAP, PH - Anthony Loke

'Tarik sahaja sokongan kalau Muda anak jantan tulen' - Mohd Puad

Muda tahu impak tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan - Saifuddin

Muda ancam tarik sokongan Kerajaan Perpaduan