'Kalah 32-0, Ahmad Said digesa letak jawatan'

A
A
A

KEMAMAN - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said digesa meletak jawatan selepas semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu tewas kepada Perikatan Nasional (BN).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, sebagai seorang pemimpin yang berkaliber, bekas Menteri Besar Terengganu itu perlu bertangggungjawab atas kekalahan teruk yang dialami.

"Sudah tiba masanya beliau (Ahmad Said) letak jawatan. Beliau perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk ini. Sampai 32- 0, lapan Parlimen kosong terus di Terengganu. Tak ada 'check and balance' maknanya kerajaan Pas hari ini bebas buat apa sahaja.

"Jadi saya minta rakyat pun fikirlah. Dengan keadaan kita ada hari ini saya rasa kita akan rasa susah sikitlah di Terengganu. Tambahan pula tiada kerjasama dengan kerajaan Pusat," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini, pada Isnin..

Wan Ahmad Nizam
Wan Ahmad Nizam

Menurut Wan Ahmad Nizam, UMNO juga perlu mengetengahkan barisan kepimpinan muda bagi memberi nafas baharu dan memastikan parti itu tidak terus 'terkubur'.

Artikel Berkaitan:

"Barisan kepimpinan perlu diubah dan perlu letak pemimpin-pemimpin muda yang boleh menerajui UMNO baharu.

"Ia perlu supaya anak-anak muda lihat ada perubahan dalam pimpinan UMNO itu sendiri. Kita ada ramai pemimpin muda tetapi tidak diketengahkan. Misalnya dalam PRN baru-baru ini hanya dua calon Pemuda diketengahkan," ujarnya.

Pilihan raya lalu menyaksikan beberapa kejutan besar berlaku antaranya dua bekas Menteri Besar Terengganu tewas kepada pencabar masing-masing.

Ahmad Said yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tewas kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi.

Razali yang merupakan muka baharu yang bertanding atas tiket Pas mengalahkan Ahmad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu dengan memperoleh 13,403 undi.

PRN Terengganu dan PRK Kuala Terengganu pada Sabtu menyaksikan Pas menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen.