Banjir diramal landa sembilan jajahan di Kelantan

Sembilan jajahan di Kelantan diramal berkemungkinan dilanda banjir bermula hari ini hingga 11 November. - Gambar hiasan
Sembilan jajahan di Kelantan diramal berkemungkinan dilanda banjir bermula hari ini hingga 11 November. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Sembilan jajahan di Kelantan diramal berkemungkinan dilanda banjir bermula hari ini hingga 11 November, susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan jajahan terlibat ialah Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.

Menurut PRABN, ramalan awal banjir itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh MetMalaysia pada 4.30 petang tadi, dengan kawasan titik panas banjir, kawasan rendah dan kawasan berisiko banjir dijangka terjejas.

"Bagi jajahan Kota Bharu, kawasan berisiko melibatkan Lembangan Sungai Kelantan, manakala di Tumpat membabitkan Lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Golok, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua dan Sungai Kelaboran,” menurut kenyataan itu.

Di Bachok, kawasan berisiko melibatkan Lembangan Sungai Kemasin merangkumi Sungai Jelawat, Sungai Kemasin, Saliran PKS, Saliran KADA dan Sungai Bator.

Selain itu, Lembangan Sungai Semerak yang melibatkan Sungai Lubuk Nibong, Sungai Melor, Sungai Gunong dan Sungai Semerak turut berisiko mengalami banjir.

Bagi jajahan Machang, kawasan terlibat ialah Lembangan Sungai Kelantan termasuk Sungai Kelantan, Sungai Kerawang, Sungai Kweng Hitam dan alur sekitar bandar Machang.

Di Pasir Mas pula, ramalan banjir membabitkan Lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Golok dan Sungai Lemal, manakala di Pasir Puteh melibatkan Lembangan Sungai Semerak.

Sementara itu, kawasan berisiko di Tanah Merah melibatkan Lembangan Sungai Kelantan, manakala di Kuala Krai membabitkan Sungai Lebir dan Sungai Galas dalam lembangan sama.

Artikel Berkaitan:

Di Jeli, kawasan terlibat ialah Lembangan Sungai Kelantan termasuk Sungai Pergau dan Sungai Jeli serta Lembangan Sungai Golok membabitkan Sungai Lanas.

PRABN turut mengingatkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tempoh dijangkakan dan sehubungan dengan itu, penduduk terutama di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir menerusi laman sesawang Public InfoBanjir di https://publicinfobanjir.water.gov.my/,” menurut kenyataan itu. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!