PH tawar geran khas bantu usahawan wanita Melaka

HANG TUAH JAYA – Pakatan Harapan (PH) menawarkan geran khas kepada usahawan wanita selain menambah pusat jagaan kanak-kanak kerajaan bagi membantu meningkatkan penyertaan golongan itu dalam sektor ekonomi.
Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari berkata, kedua-dua inisiatif tersebut merupakan antara tawaran menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bagi memperkukuh ekonomi keluarga serta meningkatkan keupayaan wanita menjana pendapatan.
Menurut beliau, bantuan geran itu perlu mengambil kira keperluan sebenar usahawan termasuk bagi pembelian peralatan, penambahan stok dan peningkatan kapasiti pengeluaran.
"Masih ramai usahawan kecil yang kurang pengetahuan, khususnya dalam memasarkan produk secara dalam talian atau menggunakan platform media sosial.
"Melalui latihan, perkongsian ilmu dan sokongan teknikal, saya yakin usahawan wanita mampu menjadi pemacu ekonomi keluarga," katanya pada sidang akhbar harian di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Isnin.
Adly berkata, PH turut mencadangkan penambahan pusat jagaan kanak-kanak kerajaan bagi membantu wanita bekerja, khususnya mereka yang berdepan kekangan penjagaan anak ketika menjalankan tugas.
"Aspek lokasi, kemampuan bayaran, waktu operasi dan keselamatan perlu diberikan perhatian utama supaya kemudahan ini benar-benar memenuhi keperluan ibu bapa termasuk pekerja syif.
"Geran perniagaan dan kemudahan penjagaan anak ini saling melengkapi dalam membantu wanita meneruskan kerjaya serta menjana pendapatan," katanya.
Mengulas isu banjir di kawasan selatan Melaka, Adly berkata, PH turut memberi perhatian terhadap Projek Pemulihan Sungai dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rambai yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
Menurutnya, kejadian banjir yang berulang di kawasan itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan pergerakan penduduk, malah memberi kesan kepada pendapatan serta menyebabkan kerosakan harta benda.
"Kejadian banjir berulang pada Oktober 2022 yang melibatkan lapan rumah di Kampung Lancang menyebabkan kawasan berkenaan digenangi air hampir 20 hari.
"Keadaan itu menjejaskan kesihatan, pergerakan dan pendapatan penduduk selain memaksa mereka menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek tebatan banjir tersebut perlu mengambil kira keadaan sungai, kapasiti sistem saliran dan kawasan yang terdedah kepada risiko banjir.
"Penyelarasan antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting supaya kerja-kerja tebatan disokong oleh penyelenggaraan parit serta kawalan pembangunan setempat.
"Skop peruntukan dan jadual pelaksanaan projek juga perlu diterangkan kepada penduduk supaya keberkesanannya dapat dinilai berdasarkan pengurangan kawasan terjejas, kedalaman air serta tempoh surut banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
