Ahmad Zahid tidak perlu letak jawatan - Puad

A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tindakan mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO tidak akan menyelesaikan isu terutama sokongan orang Melayu kepada UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, semua pihak perlu berhenti menunding jari sebaliknya perlu bersama bertanggungjawab memikul beban yang dihadapi parti.

"Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menambah wakil UMNO dalam kabinet Kerajaan Perpaduan perlu serius mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu dengan menjayakan agenda Melayu.

"UMNO perlu dapat balik sokongan orang Melayu. Menteri-menteri UMNO mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.

"Sebab itu UMNO mesti kekal dalam Kerajaan Perpaduan. Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) perlu mengukuhkan kerjasama. Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah," ujarnya.

Keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri menyaksikan BN merekodkan kekalahan terburuk dalam sejarah apabila parti itu hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi.

BN hanya menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang serta satu di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada, Mohd Puad yang juga ADUN Rengit turut membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan.

“Muhyiddin angkuh bila suruh Ahmad Zahid letak jawatan. Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor, dia tidak letak jawatan.

"Dia kekal Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid perlu letak jawatan - Idris

Zahid takkan letak jawatan kalau UMNO kalah teruk - Khairy