PRN Melaka: Jentera BN diingat kempen secara tertib, tidak ikut rentak lawan - Mohamad Hasan

MASJID TANAH - Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terikut-ikut rentak kempen pihak lawan yang dilihat masih menggunakan pendekatan seperti parti pembangkang meskipun sudah menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sepatutnya pihak kerajaan menonjolkan pencapaian serta perancangan yang mampu memberikan keyakinan kepada rakyat, bukannya terus menggunakan pendekatan menyerang pihak lawan.
Menurutnya, sikap sedemikian seolah-olah menunjukkan DNA pembangkang masih menebal dalam kalangan pihak berkenaan.
"Walaupun sudah menjadi kerajaan, tetapi masih lagi seolah-olah mereka sebagai parti pembangkang.
“Sepatutnya sebagai parti kerajaan, mereka perlu menonjolkan apa yang mahu dilakukan, apa yang telah dilaksanakan dan pencapaian kerajaan.
"Tetapi DNA pembangkang itu memang tidak lekang daripada mereka," katanya selepas menghadiri program ramah mesra dan sarapan pagi bersama masyarakat Lendu di Durian Daun di sini pada Isnin.
Turut hadir calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berharap petugas dan penceramah BN serta Perikatan Nasional (PN) tidak terikut-ikut dengan pendekatan berkenaan.
Sebaliknya, beliau mahu kedua-dua parti meneruskan kempen secara tertib dan berhemah dengan memberi tumpuan kepada usaha memujuk pengundi supaya terus memberikan sokongan.
Dalam pada itu Mohamad berkata, beliau setakat ini belum menerima sebarang aduan atau laporan berhubung tindakan sabotaj bahan kempen di kawasan DUN Lendu.
Katanya, amalan merosakkan bahan kempen pihak lawan bukan sahaja melanggar peraturan pilihan raya, malah tidak sihat dalam proses demokrasi.
"Saya harap semua pihak terus bersikap demikian, bukan sahaja BN dan PN, tetapi parti-parti lain juga.
"Kita mengamalkan demokrasi dan apa yang penting ialah memujuk seramai mungkin pengundi, bukannya dengan cara mensabotaj bahan kempen kerana itu bukan amalan yang sihat dalam pilihan raya," katanya.
Beliau turut mengingatkan seluruh petugas dan penyokong BN serta PN supaya terus mengamalkan kempen berhemah bagi meraih sokongan pengundi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

