Kekalkan pemilihan jawatankuasa masjid sedia ada - Mufti

Mohamad Sabri
Mohamad Sabri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berpandangan pemilihan jawatankuasa masjid perlu melibatkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) tanpa campur tangan daripada pihak lain.

Beliau berkata, amalan lantikan jawatankuasa masjid sebelum ini sewajarnya diteruskan seperti sedia kala.

"Mengenai cadangan itu, mungkin ia pandangan daripada beliau (Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu). Sebenarnya hal dan urusan berkaitan tentang masjid dan surau ini di bawah tanggungjawab Maidam.

"Jadi saya berpendapat apa sudah berjalan teruskan apa yang ada. Teruskan amalan sebelum ini iaitu di bawah Maidam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, setakat ini tiada lagi perbincangan mengenai hal tersebut, namun berharap amalan lantikan sedia ada tetap dikekalkan.

Pada Rabu, Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan dilibatkan dalam proses pelantikan jawatankuasa masjid di negeri ini.

Muhammad Khalil berkata, langkah itu dapat memperkasakan komuniti tempatan selain menggalakkan kerjasama yang erat antara pelbagai agensi kerajaan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa langkah Pas Terengganu melibatkan JPKK dalam pemilihan jawatankuasa masjid dikhuatiri akan menyebabkan perpaduan antara rakyat sukar dicapai.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya lagi, campur tangan politik dalam kalangan pemilihan jawatankuasa masjid akan berlaku sekiranya JPKK terlibat sama.