NGO bantah program hiburan di Dataran Shahbandar, minta hormati bulan Syaaban

Syed Abdul Rahman bercakap menerusi hantaran di laman sosialnya mengenai penganjuran program tersebut.
Syed Abdul Rahman bercakap menerusi hantaran di laman sosialnya mengenai penganjuran program tersebut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Peduli Ummah Terengganu membantah penganjuran program berbentuk hiburan yang didakwa akan diadakan di Dataran Shahbandar di sini antara 5 hingga 8 Februari ini.

Setiausahanya, Syed Abdul Rahman Syed Hasan berkata, pihak penganjur diminta menghormati adab serta kesucian bulan Syaaban dan Ramadan dengan tidak menganjurkan konsert atau program yang melalaikan generasi muda.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak penganjuran program atau aktiviti ekonomi sebagai usaha menjana pendapatan, namun ia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti agama dan masyarakat setempat.

"Bulan Syaaban seharusnya dimanfaatkan dengan program yang mendekatkan masyarakat kepada masjid dan pengisian kerohanian, bukannya hiburan melampau yang boleh melalaikan golongan muda.

"Kalau nak buat program untuk merancakkan ekonomi, boleh. Tetapi pada bulan Syaaban ini biarlah ada adab. Kita sibuk anjurkan program ke arah penghayatan Islam, tetapi ada pihak pula sibuk menganjurkan program hiburan yang melalaikan anak-anak muda," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak perlu berpaksikan garis panduan tertentu semata-mata bagi menghalalkan penganjuran hiburan, sebaliknya menekankan soal kesesuaian masa dan keadaan.

Katanya, pihak penganjur yang ingin berhibur disaran melakukannya di negeri lain dan bukan di Terengganu yang sinonim dengan imej Islam.

"Kalau nak buat nyanyian atau konsert, jangan buat dalam bulan Syaaban, Ramadan. Hormatilah masa dan suasana.

"Sebelum ini, penganjuran hiburan tidak ditegur, tetapi apabila cuba 'mengotorkan' bulan Syaaban yang hampir dengan Ramadan, orang sudah tidak boleh bersabar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Abdul Rahman turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat usaha menganjurkan program hiburan yang dilihat mencemarkan kesucian bulan-bulan Islam di negeri itu.

Beliau memaklumkan pihaknya akan memastikan konsert yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari di Dataran Shahbandar tidak diteruskan.

"Terengganu ini ada 'tuan' nya. Jangan hanya fikir soal keuntungan sehingga sanggup menggadaikan moral dan kesucian bulan yang mulia. Ke mana arah kita nak bawa anak-anak muda ini?

"Kalau rasa nak sangat berhibur, silakan ke tempat lain. Di Terengganu, kita minta hormat nilai dan sensitiviti masyarakat," katanya.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, terdapat satu program yang dijadual diadakan di Dataran Shahbandar bermula 5 hingga 8 Februari ini yang mana turut mengundang artis tanah air.

Ringkasan AI

  • Peduli Ummah Terengganu membantah penganjuran program hiburan di Dataran Shahbandar
  • Pihak penganjur diminta menghormati adab bulan Syaaban dan Ramadan
  • Program harus mengambil kira sensitiviti agama dan masyarakat setempat
  • Penganjuran hiburan dilihat mencemarkan kesucian bulan-bulan Islam
  • Pihak NGO akan memastikan konsert pada 6 Februari tidak diteruskan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!